Jangan salahkan kami Covid-19 meningkat, kata ahli tabligh


Alfian Z.M. Tahir

Hampir 300 dari 428 kes yang dicatatkan semalam adalah mereka yang terlibat dengan acara di Masjid Jamek Sri Petaling dari 28 Februari hingga 1 Mac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2020.

PARA peserta perhimpunan tabligh terbesar Malaysia menyalahkan warga asing yang hadir ke majlis tersebut dan turut menegaskan bahawa mereka telah menjalani pemeriksaan perubatan dan bebas dari jangkitan wabak Covid-19 yang menular di kalangan mereka.

Hampir 300 dari 428 kes yang dicatatkan semalam adalah mereka yang terlibat dengan acara di Masjid Jamek Sri Petaling dari 28 Februari hingga 1 Mac.

Dengan bilangan kes jangkitan yang meningkat secara mendadak hari ini, Ali, berusia 31 tahun berkata mungkin terdapat alasan bagi mereka yang mengambil bahagian dalam acara itu untuk tidak menjalani pemeriksaan perubatan.

“Saya fikir tidak begitu adil untuk menyalahkan kami semua. Ada yang tidak pergi ke hospital mungkin mempunyai alasan sendiri tetapi saya boleh mengatakan majoriti daripada kami pergi untuk periksa.

“Bukan tabligh yang sebarkan virus itu. Program ini dihadiri oleh ramai orang, termasuk warga asing, mereka mungkin dijangkiti semasa berada dalam pesawat, atau di lapangan terbang.

“Secara kebetulan mereka hadir di perhimpunan besar,” kata Ali yang enggan memberikan nama sebenarnya.

Ali menjalani pemeriksaan dan diuji negatif untuk jangkitan virus itu.

Dianggarkan 16,000 orang menyertai program tiga hari yang bermula 28 Februari lalu.

Pada hari Ahad, Malaysia menyaksikan bilangan 190 kes baharu Covid-19, ia juga adalah peningkatan tertinggi bilangan kes yang disahkan dalam satu hari. Peningkatan itu menjadikan jumlah kes Covid-19 di Malaysia sekarang adalah 428.

Menteri Kesihatan Adham Baba berkata kebanyak kes yang disahkan adalah dari perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

Sehingga Sabtu, lebih daripada 77 peserta acara itu disahkan telah dijangkiti.

Singapura turut melaporkan kes-kes yang melibatkan rakyatnya yang mengambil bahagian dalam acara tersebut, selain Brunei dengan 38 kes.

Daripada 16,000 hadirin, 14,500 adalah rakyat Malaysia, dan selebihnya adalah warga dari negara-negara jiran.

Prosedur yang berbeza di klinik

Ali juga mengatakan bahawa laporan berita yang mendakwa peserta tabligh enggan menjalani pemeriksaan adalah tidak benar.

“Saya berada di sana untuk program tiga hari dan isu ini didedahkan media seminggu selepas program berakhir. Sebaik sahaja arahan dibuat untuk kami pergi ke hospital, ramai daripada kami pergi untuk diperiksa walaupun tidak semua.

“Saya boleh katakan bahawa kami mengikut arahan dan majoriti kami pergi untuk diperiksa. Mungkin terdapat beberapa orang yang enggan atau tidak pergi ke hospital,” kata Ali yang merupakan seorang jurutera.

Mengimbas kembali pengalamannya, Ali berkata doktor tidak memberi cuti sakit untuk beliau dan doktor tidak mengarahkan beliau untuk dikuarantin.

“Ketika saya pergi periksa, doktor di Hospital Shah Alam kata saya tak dijangkiti, mereka tidak keluarkan sebarang cuti sakit untuk saya dan mereka tidak beritahu minta saya kuarantin diri sendiri,” kata Ali.

Bagaimanapun Ali berkata kerana hal tersebut, banyak yang menyalahkan beliau kerana berdiam di dalam rumah.

“Bukannya saya tidak mahu kuarantin diri sendiri, tetapi doktor tidak katakan apa-apa kepada saya, walaupun saya bertanya sama ada saya perlu atau tidak perlu bekerja, mereka tidak keluarkan surat. Jadi saya mengandaikan bahawa mereka bersihkan saya dari jangkitan penyakit.

“Saya boleh katakan juga bahawa doktor mempunyai pendapat berbeza, contohnya rakan saya yang menghadiri program yang sama diminta untuk tetap berada di dalam rumah walaupun dia tidak menunjukkan gejala seperti selesema,” tambah Ali.

Sementara itu, seorang peserta lain yang mahu dikenali sebagai Aiman ​​berkata kumpulannya di Seri Kembangan telah disahkan negatif jangkitan oleh doktor.

“Semua orang yang menghadiri Ijtimak di Masjid Sri Petaling telah menjalani pemeriksaan kesihatan di pelbagai klinik dan hospital.

“Saya diberi surat risiko yang tidak tinggi oleh doktor di klinik kerajaan di Seri Kembangan. Mereka kata saya boleh teruskan kerja seperti biasa,” kata Aiman dan menambah bahawa bukan kesalahan mereka virus tersebut tersebar luas.

Bersetuju dengan Ali, Aiman ​​berkata beberapa klinik dan hospital mempunyai prosedur yang berbeza.

“Ada yang demam diminta pulang ke rumah dan kuarantin diri dan ada yang menghadiri perhimpunan itu boleh pergi bekerja seperti biasa. Ada yang lain pergi ke klinik diminta untuk tinggal di dalam rumah walaupun mereka tidak menunjukkan gejala,” kata Aiman. – 16 Mac, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen