Tubuh pasukan khas siasat percutian ketua SPRM di Bali, Hong Kong 


Melati A. Jalil

Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad sebelum ini berkata beliau tidak akan tunduk dengan "taktik kotor". – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2017.

PERJALANAN Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Bali dan Hong Kong perlu disiasat oleh pasukan khas, kata ahli parlimen pembangkang hari ini. 

Teo Nie Ching (DAP-Kulai) berkata, pasukan khas itu perlu ditubuhkan berikutan kenyataan timbalan ketua pesuruhjaya agensi itu Azam Baki, awal tahun ini bahawa penjawat awam yang hidup di luar kemampuan mereka adalah petunjuk kepada rasuah. 

“Sekiranya ketua SPRM pergi bercuti dengan mewah, siapa yang akan menyiasat beliau? Saya merujuk kepada video yang viral di internet. 

“Saya tidak berminat tentang dengan siapa beliau pergi, kerana (kita) sudah dewasa. Tetapi saya mahu fokus kepada tuduhan yang beliau membelanjakan sekurang-kurangnya RM50,000 untuk kemudahan ketika perjalanan ke Bali dan RM50,000 lagi ke Hong Kong. Bagaimana ketua SPRM mampu membuat perjalanan mewah?” katanya ketika perbahasan Bajet 2018. 

Teo merujuk kepada Dzulkifli Ahmad, yang bercuti dengan seorang wanita yang bukan isterinya di Bali. 

Polis kini menjalankan siasatan ke atasnya atas tuduhan menggoda seorang wanita yang sudah berkahwin. Ketua polis negara pada Sabtu berkata kertas siasatan ke atas ketua SPRM itu akan dihantar kali ketiga kepada peguam negara. 

“Soalan saya ialah siapa yang akan menyiasat beliau (Dzulkifli) jika beliau bercuti dengan mewah? Adakah satu pasukan khas akan ditubuh untuk menyiasat perkara ini dan adakah beliau akan diminta bercuti? kata Teo dan menambah bagaimana rakyat mahu percaya dengan pegawai SPRM lain sekiranya Dzulkifli tidak melepaskan jawatannya dengan mengambil cuti. 

Beberapa siri video klip muncul menunjukkan Dzulkifli berpegangan tangan dengan seorang wanita dan memasuki sebuah restoran di Bali. 

Klip berkenaan dimuat naik oleh pihak yang tidak dikenali di YouTube. 

Wanita terbabit sebelum ini berkata perceraiannya tidak ada kaitan dengan Dzulkifli, yang hingga kini tidak mengesahkan namun tidak menafikan beliau merupakan lelaki dalam klip video berkenaan dan berkata tidak akan tunduk dengan “taktik kotor”.

Pada 16 Oktober lalu, satu pasukan khas ditubuh untuk memantau siasatan dakwaan itu dan kesalahan berkaitan yang lain. 

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali berkata Jabatan Peguam Negara menerima banyak pertanyaan daripada masyarakat awam berhubung laporan yang dibuat terhadap ketua SPRM. – 14 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen