Nelayan warga Thailand ditemukan lemas 


SEORANG nelayan warga Thailand ditemukan lemas hari ini, selepas dipercayai terjatuh semasa memunggah barang dari bot di Jeti Kampung Peramu di Kuantan, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata mangsa Asri Hama, 33, yang berasal dari Narathiwat ditemukan pada 7.40 pagi, kira-300 meter dari lokasi dia dikatakan terjatuh.

“Mayat mangsa dijumpai oleh pekerja kilang sotong berhampiran jeti itu dan pemeriksaan luaran mendapati tiada kesan luka pada tubuh mangsa.

“Keterangan awal rakan mangsa mendakwa melihat mulut mangsa berbuih semasa terjatuh pada 12.15 tengah malam semalam dan difahamkan dia sering diserang sawan sejak 10 tahun lalu,” katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Mohamad Noor berkata rakan mangsa mendakwa telah terjun ke laut untuk menyelamatkan mangsa, namun gagal kerana arus deras ekoran air pasang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula hari ini, melibatkan lima pegawai dan 26 anggota terdiri daripada polis, polis marin dan bomba.

Mohamad Noor berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, untuk bedah siasat.– Bernama, 14 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen