UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) meminta semua pensyarahnya bersiap sedia untuk memulakan pengajaran secara atas talian ketika kebimbangan berterusan terhadap pandemik Covid-19.
Dalam surat yang ditujukan kepada komuniti pengajar UKM, pendaftar Ina Md Yasin memberi notis awal kepada pensyarah mengenai kemungkinan menjalankan pengajaran, pembelajaran dan peperiksaan secara atas talian pada masa akan datang.
“Universiti menyeru semua pensyarah bersiap sedia untuk mengendalikan aktiviti pengajaran, pembelajaran dan peperiksaan secara atas talian.
“Sekiranya keadaan semakin serius, universiti akan mengeluarkan arahan untuk melaksanakan kaedah atas talian ini secara sepenuhnya,” katanya dalam surat bertarikh 13 Mac.
Sehingga hari ini, Malaysia mencatatkan 197 kes positif Covid-19. Kenaikan sebanyak 39 kes semalam juga adalah yang tertinggi di negara ini sejak wabak itu bermula.
Notis awal mengenai arahan pengajaran jarak jauh adalah antara tindakan proaktif yang dijalankan oleh UKM untuk memastikan penyebaran virus dikekang di universiti awam.
UKM juga menggantung semua kegiatan perhimpunan besar di universiti, dan menasihatkan kakitangan dan pelajar agar menghindari daripada melawat negara zon bahaya.
Bulan lalu, timbalan menteri pendidikan ketika itu Teo Nie Ching berkata universiti awam mempunyai autonomi sendiri dalam membuat keputusan mengenai penangguhan kelas berikutan jangkitan Covid-19.
Beliau menegaskan langkah yang sama diambil oleh universiti apabila negara dilanda jerebu untuk memastikan kesihatan setiap pelajar universiti dilindungi.
“Bagi universiti, mereka mempunyai autonomi untuk membuat aturan paling sesuai dengan mereka,” katanya.
Awal bulan lepas, ketika peringkat permulaan Covid-19, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengarahkan semua pelajarnya bercuti selama 10 hari.
Juga pada Februari, Universiti Malaya menggantikan semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran bersemuka, termasuk kuliah, tutorial dan makmal, dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara tidak bersemuka selama seminggu.
Ia berlangsung dari 17 hingga 23 Februari, dan kuliah disambung semula seperti biasa bermula 24 Februari. – 14 Mac, 2020.
Komen