Langkah-langkah ekonomi kecemasan untuk Malaysia


PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya mengambil langkah-langkah dalam membantu rakyat menangani situasi ekonomi semasa, yang diburukkan lagi oleh wabak Covid-19 pada masa ini.

Ia diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020 bahawa Covid-19 boleh “dicirikan sebagai pandemik”.

Wabak ini melanda lebih daripada 100 buah negara dan wilayah dengan bilangan kes meningkat dua kali ganda setiap lima hingga tujuh hari di seluruh dunia menjadi kebimbangan utama.

WHO menyatakan penyebaran cepat itu disumbang oleh “peringkat tiada tindakan yang membimbangkan” oleh negara yang terjejas.

Dengan perubahan landskap ekonomi yang cepat, “pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion “ yang diumumkan lewat Februari tidak mencukupi bagi menangani keperluan rakyat.

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia yang menyumbang 98.5% daripada perniagaan dan menyumbang kepada sehingga 37 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan terjejas dengan teruk oleh kesan Covid-19 ke atas industri pelancongan dan gangguan kepada rantaian pembekalan.

Memandangkan kepada situasi ini, kerajaan perlu mengenakan moratorium ke atas bayaran hutang sebagai salah satu cara untuk mengurangkan kesannya.

Terdapat juga keperluan untuk mengharamkan semua majlis ‘yang tidak penting’ dan perhimpunan awam kerana tempat itu berpotensi untuk menyebarkan jangkitan.

Salah satu kes baru-baru ini ialah Covid-19 merebak kepada sekurang-kurangnya 12 orang yang dikaitkan dengan perhimpunan agama Islam selama tiga hari di sebuah masjid di luar Kuala Lumpur.

Majlis itu dihadiri oleh kira-kira 10,000 orang daripada beberapa buah negara, kira-kira separuh daripadanya adalah rakyat Malaysia.

Pihak Kementerian Kesihatan kini sedang mengesan 5,000 orang yang menghadirinya di seluruh negara, ini membebankan lagi Kementerian Kesihatan yang terhad sumbernya. Ini boleh dielakkan jika semua orang lebih bertanggungjawab.

Kerajaan juga perlu menutup semua pusat tarikan pelancongan memandangkan ia juga boleh menjadi tempat penyebaran virus itu. Dengan kehadiran pelancong, akan terdapat perniagaan untuk sektor pelancongan dan ia secara tidak sengaja membantu menyebarkan jangkitan itu.

Kerajaan perlu membatalkan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 untuk mengelakkan risiko kesihatan terhadap rakyat Malaysia pada masa ini.

Bermula 14 Mac 2020, sekolah di Malaysia akan mula bercuti selama satu minggu. Kementerian Pendidikan perlu mempertimbangkan untuk melanjutkan cuti sekolah selama satu minggu lagi menjadikan ia dua minggu.

Cuti juga perlu dipertimbangkan bagi institusi pengajian tinggi, prasekolah dan pusat asuhan kanak-kanak. Ia perlu ditekankan bahawa kanak-kanak prasekolah dan pusat asuhan kanak-kanak amat mudah terdedah kepada jangkitan ini.

Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaan agar mengambil keputusan tegas bagi mengawal daripada merebaknya Covid-19 dengan:

  • Mengenakan moratorium ke atas bayaran hutang.
  • Mengharamkan perhimpunan besar dan mengelakkan daripada menganjurkan majlis yang tidak penting.
  • Menutup pusat tarikan pelancongan.
  • Melanjutkan cuti sekolah sekarang kepada satu minggu lagi dan menutup semua institut pengajian tinggi, prasekolah dan pusat asuhan kanak-kanak.

Pihak kerajaan juga perlu proaktif dalam menjangkakan situasi yang tidak akan mudah reda dengan begitu cepat. Sementara itu, wabak Covid-19 ini tidak akan dapat dikawal jika orang ramai tidak bekerjasama dalam membuat pengorbanan dan bersama-sama membantu bagi menanganinya. – 13 Mac, 2020.

 

* Mohideen Abdul Kader merupakan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)    

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen