Penculik nafi culik Koh, kata saksi kepada Suhakam


Noel Achariam

Saksi kesembilan siasatan awam Suhakam mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh berkata penculiknya desak supaya berhenti menganjurkan himpunan nyalaan lilin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 November, 2017.

BEKAS ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya Peter Chong memberitahu siasatan awam Suhakam beliau ditahan di Thailand oleh tiga lelaki yang menafikan terlibat menculik Pastor Raymond Koh, tetapi mendesaknya berhenti menganjurkan himpunan nyalaan lilin untuk Koh dan tiga lagi yang hilang.

Chong, saksi kesembilan yang memberikan keterangan kepada siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), berkata beliau percaya penculiknya orang Melayu, dan mereka mendakwa mewakili kumpulan yang memperjuangkan Islam.

“Dua daripada mereka meminta saya menghentikan himpunan nyalaan lilin tetapi mereka berbalah tentang penculikan Koh. Mereka kata penculikan itu memberikan mesej yang negatif tentang Islam.”

Koh berkata beliau “rasa tertipu” kerana sebelum itu mendapat satu pesanan teks pada April yang memintanya untuk ke Hat Yai, Thailand bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang di mana Koh berada.

Chong, 54, berkata beliau tidak pernah bertemu dengan Koh tetapi mendengar berita kehilangan Koh melalui gereja.

Beliau juga mendakwa sebaik tiba di Hat Yai pada 7 April lalu, beliau diculik dan dikurung di sebuah bilik selama lebih kurang 10 hari.

“Saya sampai di Thailand pada 6 pagi. Saya kemudian disambut oleh seorang lelaki bermotosikal yang menyerahkan kepada saya sekeping nota. Nota itu meminta saya mengikut lelaki berkenaan. Jadi, saya ikut dia ke sebuah bangunan kedai di Hat Yai,” katanya.

Chong memberitahu beliau kemudian dibawa ke bahagian belakang sebuah restoran dan menaiki tangga ke sebuah bilik di tingkat satu dan kemudian ditutup kepalanya sebelum memasuki bilik itu.

Telefonnya kemudian dirampas, katanya.

Katanya, di dalam bilik itu ada dua lelaki lain bersama-sama lelaki bermotosikal itu.

Beliau memberitahu panel siasatan yang beliau dibebaskan pada 15 April selepas dibawa ke Pattaya oleh dua penculiknya, yang kemudian meninggalkannya di sebuah tapak pembinaan dekat kawasan pantai.

Lelaki itu mengambil begnya dan memberinya wang sebanyak 20 baht serta sebotol air mineral.

Chong berkata beliau kemudian menghubungi anak lelakinya dan menaiki sebuah bas ke Bangkok keesokan harinya sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur menaiki pesawat.

Beliau tidak membuat laporan mengenai penculikannya di Thailand kerana diberitahu perlu melakukannya di Hat Yai dan beliau tidak berhasrat untuk kembali ke sana.

Polis Malaysia mengambil keterangannya sebaik beliau tidak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan beberapa hari selepas itu, beliau diminta hadir ke ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya untuk membuat kawad cam.

Chong bagaimanapun, tidak dapat mengecam penculiknya daripada tiga kawad cam.

Siasatan Suhakam ini dibuat bagi menentukan sekiranya kehilangan Koh dan tiga rakyat Malaysia yang lain iaitu Pastor Joshua Hilmy, isterinya Ruth, serta aktivis sosial Amri Che Mat – adalah kes hilang paksa, istilah yang digunakan bagi penculikan yang dilakukan dengan kebenaran atau sokongan institusi negara atau pertubuhan politik. – 14 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen