POLIS berjaya merampas 150.87 gram syabu bernilai RM22,630 dan menahan dua pengedar dadah dalam dua operasi berasingan di daerah Tuaran pada Isnin dan Selasa lepas.
Rampasan pertama syabu seberat 50.10 gram dilakukan menerusi tangkapan seorang lelaki warga asing berumur 19 tahun dalam Operasi Tapis di Taman Perumahan Telipok Ria pada Isnin lepas pukul 9.20 malam.
Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Mohd Hamizi Halim berkata nilai pasaran semasa dadah yang dirampas itu ialah RM7,515.
Katanya, rampasan kedua membabitkan syabu seberat 100.77 gram daripada seorang lelaki rakyat tempatan berumur 22 tahun yang ditangkap menerusi Operasi Sarang di Jalan Kampung Baru-Baru pada 11.05 malam Selasa lepas.
“Nilai pasaran semasa dadah terbabit RM15,115. Turut dirampas sebuah kereta Perodua Myvi dipercayai digunakan suspek untuk kegiatan pengedaran dadah,” katanya pada sidang media di Tuaran, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori.
Katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana ujian saringan awal kencing mendapati mereka positif dadah. – Bernama, 12 Mac, 2020.
Komen