Anwar tidak boleh tarik sokongan orang Melayu, kata Dr Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata falsafah politik Anwar Ibrahim yang liberal tidak dapat diterima oleh golongan Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mac, 2020.

ORANG Melayu tidak menyokong Anwar Ibrahim kerana falsafah politiknya yang liberal, kata Dr Mahathir Mohamad, dalam wawancara dengan Sinar Harian.

Kata bekas perdana menteri, orang Melayu hanya ada kuasa politik, dan kerana itu belum dapat menerima fahaman liberalisme kerana takut kedudukan mereka terancam.

“Kalau kita toleh ke belakang, bila dia terkeluar daripada Umno ketika saya jadi Perdana Menteri (pada tahun 1998), dia cuba tubuh sebuah parti menentang saya,” katanya, merujuk pada Parti Keadilan Nasional ketika itu.

“Dulu sebelum ini Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) keluar parti dan tubuh parti Semangat 46. Tetapi itu parti Melayu. Anwar keluar-keluar dia buat parti liberal. 

“Dia nak dapat sokongan daripada DAP maka dia ajak DAP masuk, Pas masuk. Falsafah dia liberal,” katanya, seperti dipetik Sinar Harian.

Kajian Merdeka Centre pada November 2019 mendedahkan hanya 13% responden Melayu menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri.

Parti Keadilan Nasional kemudian bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia, dan dinamakan Parti Keadilan Rakyat (PKR). 

Menjelang pilihan raya umum lalu, selepas bubarnya Pakatan Rakyat, PKR membentuk gabungan Pakatan Harapan bersama DAP dan Amanah, yang kemudiannya disertai Bersatu pimpinan Dr Mahathir.

Pada hujung Februari lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa Bersatu keluar dari PH, dan pada hari sama, Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri, menyebabkan pentadbiran yang dibentuk sejak PRU14 tumbang.

Dalam wawacara sama, Dr Mahathir mengaku beliau ada masalah dengan Anwar tetapi melupakannya kerana cita-cita bersama menumbangkan Najib Razak dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu.

“Saya menghadapi masalah dengan Anwar. Saya mengaku. Semasa saya menjadi Presiden UMNO, Anwar tersingkir dan dia kena hukuman penjara.

“Bila kita nak lawan dan nak jatuhkan Najib, saya berpendapat bahawa antara Najib dengan Anwar, saya rasakan Najib lebih bahaya.

“Jadi saya sanggup rujuk kembali dengan Anwar, bahkan saya turut bekerjasama dengan DAP. 

“Kalau tidak kita tidak boleh kalahkan Barisan Nasional (pada Pilihan Raya Umum ke-14),” katanya. – 12 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen