Langkah Sheraton dari kaca mata seorang rakyat


SEPERKARA yang amat mengecewakan dalam tragedi pengkhianatan adalah ia tidak pernah dilakukan oleh musuh di luar, sebaliknya oleh saudara kita dari dalam. 

Hikayat purba menjelaskan bagaimana Caesar ditikam oleh Brutus, senator kepada maharaja itu sendiri. Dalam sejarah yang dirakam tradisi Kristian, Jesus dikhianati oleh pengikutnya Judas, yang mengakibatkan beliau disalib oleh kerajaan Rom.

Namun sekiranya para pengkhianat ini dikumpulkan dalam satu organisasi, bolehkah wujud kepercayaan sesama mereka? Adakah mereka boleh meninggalkan sikap itu setelah berada di puncak kuasa? 

Apakah jaminan yang mereka tidak akan berkhianat lagi?

Dalam hal ini, yang sering diungkapkan berkali-kali oleh rakyat sebagai dalang utama adalah Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan kelompok mereka. Namun tidak ramai yang membicarakan soal Bersatu sebagai salah satu dalang pengkhianat.

Hakikatnya Bersatu lah yang telah meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan dengan mengheret keluar 36 ahli Parlimen daripada gabungan itu pada 24 Februari.

Azmin dan kelompoknya yang dipecat PKR hanyalah mencecah 10 orang. Tanpa keluarnya Bersatu, tidak mungkin Umno, PAS, kelompok Azmin dan Gabungan Parti Sawarak (GPS) boleh membentuk kerajaan.

Untuk rekod, pakatan ini telah wujud sekurang-kurangnya tujuh bulan yang lalu. Laksana api dalam sekam, mereka memeterai persetujuan serta tawar-menawar secara sirr (rahsia). Mereka hanya menjengukkan kepala mereka di Hotel Sheraton pada 23 Februari lalu dengan tujuan menumbangkan kerajaan yang sedang bertugas.

Ini dilakukan demi menggenggam kuasa pemerintahan, menyelamatkan diri daripada pendakwaan serta menyekat kemaraan individu bernama Anwar Ibrahim. Usahkan soal prinsip dan nilai, soal kebajikan rakyat juga tiada dalam minda mereka saat mengatur Langkah Sheraton. Semuanya demi kepentingan masing-masing.

Kini PH kembali menjadi pembangkang. Dengan tersisih keluarnya semua musuh dalam selimut menuju ke lubang masing-masing di Putrajaya, tiba masanya untuk PH mencorak masa depannya sendiri demi keadilan dan kepentingan rakyat terbanyak.

Mereka perlu membuka lembaran baru dan memugar strategi yang tegas dan berkesan. 

Saya juga berpandangan bahawa PH tidak sewajarnya lagi bergantung kepada Dr Mahathir Mohamad. Malangnya beliau tidak lagi berpihak kepada PH, dan sedari awal lagi merestui perjalanan bidak-bidak catur untuk menukar kerajaan demi menghalang kemaraan Anwar.

Sesungguhnya beliau telah berjasa bersama-sama dengan PH untuk menjatuhkan sebuah pentadbiran kleptokrat pada PRU ke-14 yang lalu, dan sayugianya beliau dikenangkan untuk itu. 

Adapun sekarang, wajarlah beliau direhatkan sebelum keadaan menjadi semakin parah dek permainan politik yang tidak terkawal.

Oleh yang demikian, kunjungan yang dilakukan oleh sebuah parti komponen PH ke atas Dr Mahathir semalam untuk mengharapkan sokongannya ternyata amat merunsingkan. 

Apabila ditanya, mengapa kamu masih mengharapkan ihsan Dr Mahathir? Maka alasan yang diratib mereka adalah, Dr Mahathir memiliki 14 kerusi bersamanya.

Mereka yang berbicara soal maqasid syariah sewajarnya memahami bahawa jalan untuk mencapai objektif itu ada banyak, bukan satu. 

Yang seharusnya dilakukan adalah mengambil sikap berani untuk meneroka kemungkinan yang lain. Bukan berpegang kepada satu wasilah sahaja, yakni mengumpul majoriti untuk melancarkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Politik adalah larian maraton. Visi dan prinsip adalah vitamin yang mengekalkan stamina pemain politik untuk sampai ke penghujungnya. 

Mereka yang tidak boleh hidup tanpa jawatan, tamak haloba, dan tidak sabar pasti akan kecundang di pertengahan jalan.

Oleh yang demikian, perlulah diingatkan kembali buat mereka yang menganggap politik ini sebagai sebuah larian pecut, jangan sesekali menggadai prinsip dan kepercayaan rakyat untuk kemenangan interim. Jangan mudah selesa dengan jawatan, dan jangan takut kembali menjadi pembangkang.

Barangkali tidak mudah buat PH untuk meninggalkan Dr Mahathir, namun akhirnya PH jua yang akan menentukan sama ada masa beliau telah tamat atau tidak. 

Khianat dalam khianat adalah perkara yang paling dibimbangi sekiranya Dr Mahathir diberi kepercayaan untuk memimpin PH lagi. 

Beliau belum berpisah daripada Muhyiddin Yassin, bahkan pasti akan bertemu dan berunding dengan perdana menteri dalam masa terdekat. 

Jika nasib berpihak kepada Muhyiddin, Dr Mahathir akan kembali ke pangkuan asal. Saat itu berlaku, Langkah Sheraton telah sempurna, dan mereka yang ditinggalkan Dr Mahathir terpaksa mencari wasilah lain. – 11 Mac, 2020.

*Hilman Fikri Azman adalah graduan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen