Tentera Myanmar nafi seksa Rohingya menjelang lawatan Tillerson


Seorang kanak-kanak Rohingya menjenguk ke luar dari “rumah perlindungan” di kem pelarian Hakimpara, Bangladesh di Ukhia. Lebih 600,000 Rohingya tiba di Bangladesh sejak Ogos. – Gambar AFP, 14 November, 2017.

TENTERA Myanmar nafi melakukan sebarang penderaan terhadap orang awam Rohingya semalam, susulan siasatan dalaman sebuah kumpulan hak asasi manusia yang mendapati tindakan ketenteraan itu adalah kempen pembersihan etnik terhadap masyarakat minoriti Muslim.

Keputusan siasatan itu dikeluarkan sebelum ketibaan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Rex Tillerson ke Myanmar pada Rabu.

Tillerson dijangka akan mengeluarkan kenyataan keras terhadap layanan tentera kepada Rohingya menyebabkan lebih 600,000 melarikan diri ke negara jiran Bangladesh dalam tempoh dua bulan lalu.

Krisis itu bertambah buruk bermula penghujung Ogos selepas pemberontak Rohingya menyerang pos polis di Rakhine, mencetuskan kekerasan tentera yang menyaksikan ratusan kampung dibakar dan menyebabkan ramai melarikan diri.

Sementara pihak berkuasa menyekat akses ke utara Rakhine, wartawan dan pegawai rasmi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengumpul keterangan daripada pelarian Rohingya di Bangladesh yang menggambarkan tentera dan perusuh Buddha melakukan pembunuhan, rogol dan pembakaran.

Susulan siasatan rasmi pertama berhubung krisis itu, tentera berkata hasil penemuan siasatan yang disiarkan semalam hanya berdasarkan temu bual dengan lebih 3,000 penduduk kampung di Rakhine dan membuktikan semua anggota keselamatan terikat ketat dengan peraturan pembabitan.

Selepas melepaskan tembakan ke arah perusuh yang didakwa sebagai militan Rohingya, tentera dan polis hanya “mula menembak dengan sasaran di kaki pemimpin terbabit” jika kumpulan itu tidak berhenti merusuh, kata laporan itu.

Secara keseluruhan, 13 pegawai keselamatan dan 376 “pengganas” Rohingya terbunuh dalam pertembungan selama lebih dua minggu bermula 25 Ogos itu, katanya.

Laporan itu juga menafikan tuduhan yang anggota tentera merogol wanita dan membakar kampung.

“Mereka tidak mengugut, buli dan menghalau penduduk kampung,” katanya, menyalahkan militan Rohingya atas serangan kebakaran.

Satu-satunya kekurangan dalam peranan ketenteraan ialah “kelemahan” dalam pengurusan dan pengumpulan maklumat risikan yang membolehkan pemberontak melakukan serbuan, kata siasatan itu.

Laporan itu tidak akan menenangkan PBB dan kumpulan hak asasi manusia yang sudah pun merekodkan bukti wujudnya kempen tentera yang sistematik untuk menghapuskan kumpulan minoriti Muslim itu.

Amnesty International, badan pemantau hak asasi manusia menyelar siasatan itu sebagai cubaan untuk “mencuci jenayah terhadap kemanusiaan”. – AFP, 14 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen