Muhyiddin minta Dr Mahathir sokong Perikatan


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berharap Dr Mahathir Mohamad menyokong kerajaan Perikatan Nasional pimpinannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Mac, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin berkata tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya baharu dan berharap Dr Mahathir Mohamad menyokong kerajaan baharu pimpinannya.

“Kita sudah membentuk kerajaan dan saya mahu beliau menyokong. Itu yang lebih baik untuk rakyat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama di Perdana Putra hari ini.

“Ini kerajaan yang sah, berperlembagaan dan baik untuk rakyat. Mereka mengharapkan kerajaan ini bekerja dan kami berjanji untuk berkhidmat.

“Kalau buat pilihan raya baru, saya tak mahu, rakyat bukan sahaja akan marah kerana masanya tidak sesuai. Kita perlu berkhidmat.

“Saya berharap semua orang akan beri kita sokongan termasuk juga Tun,” kata Muhyiddin. 

Perdana menteri berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pemberita apakah kedua-dua pemimpin itu Bersatu itu akan berdamai selepas beliau menggantikan Dr Mahathir sebagai pengerusi parti.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri selepas mendapat sokongan daripada Barisan Nasional, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan beberapa parti dari Sabah. Pada masa yang sama, Dr Mahathir mendakwa memperoleh sokongan daripada Pakatan harapan dan Parti Warisan Sabah.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata beliau tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadap dan menunjukkan jumlah ahli parlimen yang menyokongnya sebagai perdana menteri.

“Saya dah tulis surat, hantar kepada Tun. Yang saya sebutkan, pertama, doa Tun dan keluarga sihat walafiat.

“Pada para kedua saya kata sekiranya dalam tempoh beberapa hari yang lalu, perkara yang telahpun dilakukan menyinggung perasaan Tun, saya mohon maaf.

“Para ketiga, ini saya masih ingat, saya mohon kalau ada masa untuk saya bertemu dengan Yang Amat Berbahagia Tun. Tapi telah terima jawapan, dia kata belum sampai masa untuk berjumpa. Saya bersedia anytime, any place, anywhere to meet Tun for the sake of the country,” katanya. – 11 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen