Pengusaha restoran harap ada kelonggaran larangan merokok


Angie Tan

Pengendali berkata larangan yang diperkenalkan oleh PH itu terlalu ketat kerana tidak membenarkan kawasan merokok disediakan di restoran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mac, 2020.

PENGUSAHA restoran berharap kerajaan baharu akan memberi sedikit kelonggaran berkaitan larangan merokok yang diperkenalkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Walaupun mendapat bantahan selepas diperkenalkan pada Januari tahun lalu, larangan merokok di restoran semakin diterima selepas orang ramai diberi nasihat dan pendedahan mengenai tujuan ia diwujudkan.

Bagaimanapun, pengusaha berkata larangan PH itu terlalu ketat kerana tidak membenarkan kawasan merokok disediakan di restoran.

Memandangkan Putrajaya kini diambil oleh Perikatan Nasional (PN), pengendali restoran meminta kelonggaran supaya kawasan khas merokok ini dibenarkan untuk menarik pelanggan.

“Larangan itu bagus. Kita tak minta U-turn. Kita cuma harap kerajaan persekutuan yang baru ini luluskan kawasan khas merokok (di restoran) diwujudkan,” kata Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura Ho Su Mong.

“Larangan yang hanya membenarkan merokok 3 meter daripada restoran akan mendatangkan masalah juga, contohnya puntung rokok dibuang merata.

“Kalau ada kawasan dibenarkan merokok, perokok ada tempat untuk buang puntung, jadi kawasan restoran akan sentiasa bersih.”

Beliau turut mencadangkan kerajaan mencontohi konsep yang diamalkan Singapura dan Jepun mengenai penyediaan kawasan merokok.

Presiden Persatuan Pengusaha Kedai Kopi dan Teh Cina Selangor dan Kuala Lumpur William Lee turut senada dengan Ho.

William berkata kerajaan perlu membenarkan kawasan khas merokok dengan pengaliran udara yang baik supaya tidak menyusahkan pelanggan merokok di luar premis terutamanya bila hari hujan. – 14 Mac, 2020.

Berita penuh di sini.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen