Kisah kelaparan rakyat di kafe mewah 


Zainal Rashid Ahmad

BUKAN mudah memulakan ucapan mengenai krisis makanan miskin bandar ketika berada di depan hampir 100 tamu yang sedang menikmati makan malam di kafe hotel mewah.

Di depan hidangan nasi goreng makanan laut, jus buah-buahan dan kek keju – ketika tamu baru habis menikmati hidangan mewah – saya tercari-cari ayat yang sesuai memulakan kisah mengenai nasib miskin bandar dan gelandangan Kuala Lumpur.

Saya ingin mulakan dengan kisah Tia; gadis sunti berusia 12 tahun yang menghabiskan malam-malamnya berdiri di Dataran CIMB. Tia mengutip pek demi pek makanan sumbangan NGO.

Sesi Borak Kafe dianjurkan Ustaz Dr Asyraf Suarin. Sebagai Mudir Mahad Tahfiz Pondok Motivasi Hamlatul Quran, Kuala Selangor, Dr Asyraf banyak terbabit dalam kerja amal membantu gelandangan.

Dr Asyraf berkolaborasi dengan Laskar4Life, aktivis jalanan yang menyediakan bantuan makanan kepada warga miskin bandar dan gelandangan di sekitar Chow Kit. Sesi perkongsian ini turut disertai panel Ejam Medicine yang berkongsi pengalaman hijrahnya.

“Tia, antara puluhan anak-anak PPR yang memikul tanggunjawab keluarga untuk mengumpulkan makanan di Chow Kit.

“Hidupnya tidak mudah kerana terpaksa berbaris dan bergilir berulang kali mengumpulkan pek demi pek makanan,” kata saya.

Mengapa? Keluarga Tia enam orang. Selain makan malam, Tia harus memastikan dia juga membawa pulang lebih makanan untuk sarapan pagi.

Tia, gadis kurus yang murung. Kehidupan menjadi pengemis dan terpaksa menghabiskan malam-malamnya di tepi jalan menyebabkan emosinya terganggu.

“Tanpa peluang bersekolah, tanpa sokongan moral dan dibiarkan menjadi peminta makanan, krisis ini memusnahkan emosi seorang kanak-kanak seperti Tia,” kata saya.

Bunyi sudu bergesel dengan piring kek keju terhenti; suasana jadi senyap.

Selain hadirin, pembantu bar juga mengalihkan perhatian. Saya nampak wajah terkedu anak muda bersut serba hitam dan berkemeja putih.

“30% kanak-kanak isi rumah PPR di Kuala Lumpur gagal mendapatkan akses makanan tiga kali sehari. Ertinya lebih 16 ribu keluarga PPR hidup dalam kelaparan kerana kekurangan makanan,” kata saya.

Ini data kajian Tabung Kewangan Kanak-kanak PBB (Unicef) dan didedahkan pada Februari 2018. Sedihnya, maklumat ini tidak pernah dipedulikan.

Selain hampir sepertiga kanak-kanak PPR kekurangan makanan, 22% mengalami masalah nutrisi; pembantutan tumbesar akibat kekurangan zat.

Selama sedekad ini, kita lebih obses pada pergolakan politik. Walaupun kita tahu – kelaparan kritikal menyebabkan ribuan kanak-kanak miskin hidup menderita. 

“Tia terpaksa berada di Chow Kit antara empat ke lima jam setiap malam. Sebab setiap NGO menghadkan dua pek makanan untuk seorang penerima,” kata saya.

Keadaan ini sukar buat Tia. Tekanan rasa malu menjadikan wajahnya jelas nampak suram murung. Krisis emosi menjadikan Tia lebih suka menyendiri; bersembunyi di balik tiang bangunan.

Tia hanya akan memunculkan diri apabila satu demi satu NGO muncul mengedarkan pek makanan.

Gadis 12 tahun ini pasti punya harga diri. Berulang kali berbaris mengambil makanan sumbangan pelbagai NGO bukan kehidupan diimpikan gadis seusia Tia.

Tanpa pendidikan kerana keciciran sekolah, berpakaian selekeh kerana miskin dan terdedah pada gangguan seksual ketika berada di jalanan – meletakkan Tia dalam krisis emosi yang parah.

Tiga minit memulakan intro cerita – saya nampak pemuda penjaga bar bergerak ke hujung kaunter dan berada pada jarak paling dekat dengan pentas ucapan.

Saya fikir, selama bekerja di kafe mewah, barangkali ini kali pertama pemuda bar ini mendengar kisah miskin bandar yang diabaikan media massa.

Krisis politik yang berpanjangan sejak sedekad lalu, menjadikan laporan “kebuluran kuasa” ahli politik lebih utama berbanding berita mengenai derita rakyat marhaen di jalanan.

Warga PPR Kuala Lumpur dilanda krisis makanan yang serius. Tidak hairanlah, demografi peminta makanan di jalanan bukan lagi dipenuhi gelandangan, penagih dadah atau pekerja seks murahan. Kini barisan peminta makanan dipenuhi kanak-kanak seperti Tia.

Wakil keluarga PPR yang mengharapkan anak-anak membawa pulang makanan dari sumbangan projek amal di jalanan.

“Tia gugup dan gagap. Selalu ketakutan dan sentiasa berada di balik tiang. Tiap kali kami datang, 12 pek makanan diasingkan pada Tia,” kata saya.

Tapi Tia tetap berada di jalanan hingga 1 pagi. Walaupun pada pukul 9 malam, pek makanan sudah mencukupi.

“Tunggu ayah ambil. Ayah jadi guard dan habis kerja 12 malam,” katanya gugup.

Sejak itu kami menguruskan tempahan kenderaan e-hailing. Atau ada rakan aktivis akan menghantarnya pulang ke Sentul.

“Ada 28,600 penyewa PPR berhutang dengan DBKL antara setahun hingga sepuluh tahun sewaan. Total hutang sewaan isi rumah miskin melebihi RM58 juta,” kata saya.

Sewa hanya RM124 sebulan. Ramai yang prejudis dan menganggap isi rumah PPR bersikap liat menjelaskan tunggakan sewaan.

“Apa yang patut diutamakan keluarga berpendapatan RM1,500 hingga RM2,000 sebulan?” Tanya saya.

Ketika menjalankan bancian rambang di Flat Desa Permai, Kepong, saya menemukan fakta mengejutkan.

“Sembilan keluarga dengan isi rumah empat ke sembilan orang - hanya pendapatan bersih antara RM980 hingga RM1,050 sebulan,” jelas saya.

Angka di bawah paras gaji pokok RM1,200 yang ditetapkan kerajaan.

“Pesara atau mereka berusia melebihi 60 tahun dilarang menjadi pengawal keselamatan. Akhirnya, ramai terpaksa menjadi tukang sapu dengan kontrak gaji dibayar secara per jam,” kata saya.

Krisis kemiskinan akibat kesenjangan ekonomi bukan isu kecil di bandar besar terutama Kuala Lumpur. Impak keperlahanan ekonomi dan pemotongan bajet kebajikan menyebabkan 30% warga miskin terputus bantuan bulanan.

“Hasil pendapatan zakat mengecil dan bajet kebajikan pula menurun, impak jadi lebih buruk apabila banyak isi rumah kehilangan wang bantuan bulanan,” kata saya.

Malam itu, selain 100 tamu, hotel ini turut menjemput 40 pelajar pusat tahfiz.

“Sekarang isunya mengenai peranan kita semua. Kerajaan barangkali pening menguruskan angka rakyat miskin yang terlalu besar. Tetapi 800 ke 1,000 gelandangan dan lebih 26,000 keluarga miskin tegar masih boleh dibantu kita semua,” jelas saya.

Bagaimana memulakannya?

Isu penyelesaian ini antara persoalan yang sama dibentangkan di surau petempatan mewah di pinggir Putrajaya pada Februari lalu. Lebih 70% qariah surau ini berpendapatan tinggi dan ada yang bertaraf jutawan. Setiap kali dijemput menyampaikan perkongsian Subuh, jemaah bertanya: Bagaimana kita harus memainkan peranan?

Ini kelemahan dalam sistem NGO kita. Kerja-kerja amal sukar dilaksana secara tuntas kerana struktur kebanyakkan NGO hanya pada skala aktiviti memberikan bantuan berkala.

Kita tidak memiliki NGO khusus yang distrukturkan secara profesional dan sistematik mengendalikan masalah miskin bandar.

Mentaliti kita masih menganggap isu menangangi kemiskinan adalah tanggungjawab total kerajaan.

Persoalan besar sekarang: bagaimana memindahkan tugas ini sebagai tanggungjawab kondusif dan sistematik sesama NGO?

Seterusnya menghentikan budaya berpanjangan menyelar pihak pengendali zakat atau pegawai kebajikan.

Mengulangi tudingan dan tuduhan liar terhadap pejabat zakat dan kebajikan tidak akan mengubah realiti di jalanan. Mustahil 120,000 hingga 150,000 isi rumah miskin bandar ditangani sepenuhnya oleh kerajaan.

Prosesnya memerlukan kombinasi kerjasama antara aktivis sosial dan agensi kerajaan. Paling tidak, usaha dinamik dan sistematik dilaksanakan demi menyelamatkan ribuan kanak-kanak seperti Tia daripada berterusan hidup di jalanan.

Seterusnya, kisah Tia tidak perlu dijaja berterusan hingga mengganggu mood makan malam yang enak di kafe hotel mewah. – 11 Mac, 2020.

 

 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen