POLIS menahan tiga lelaki yang disyaki aktif dengan kegiatan pengedaran dadah di sekitar pusat hiburan di sekitar Melaka Raya sejak sebulan lalu dalam dua serbuan minggu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, Supt Zulkiflee Rashid berkata dalam serbuan pertama kira-kira pukul 12.20 malam Jumaat lepas, polis menahan dua suspek berumur 27 dan 29 tahun di sebuah rumah, di Taman Kenanga, Kampung Lapan, sewaktu mereka hendak keluar dari rumah itu.
Beliau berkata susulan pemeriksaan, polis menemui 1,275 gram dadah disyaki serbuk methaphetamine, pil eramin 5 (100 biji), syabu (13 gram) dan ketamin (38 gram) yang semuanya dianggar bernilai RM17,200.
Bercakap kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Ayer Keroh di Melaka, hari ini beliau berkata turut dirampas dalam serbuan itu sebuah kereta jenis Toyota Vios, serta pelbagai barangan kemas seperti rantai, gelang dan cincin serta wang tunai, semuanya dianggar bernilai RM76,050.
Katanya susulan tangkapan itu, pihak JSJN Melaka dan JSJN Johor telah berkerjasama bagi menjejaki seorang lagi suspek berusia 24 tahun yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kes terbabit dan lelaki itu ditahan pada 8 Mac, kira-kira pukul 4.45 petang.
Tambahnya, ketiga-tiga suspek itu tidak mempunyai rekod lampau dan kesemua mereka ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama, 10 Mac, 2020.
Komen