4 sebab sokongan Muhyiddin perlu diuji


KETIKA protes menentang kerajaan “pintu belakang” bulan lalu, ada seorang dalam kalangan khalayak yang hadir cuba mengganggu ucapan seorang penceramah.

“Berhenti bercakap. Agong sudah pun memilih,” katanya, merujuk kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan.

Orang itu kemudiannya dibawa pergi jauh daripada penceramah, dan diminta untuk menganjurkan perhimpunannya sendiri daripada mengganggu penceramah ketika perhimpunan yang berlaku di Dataran Merdeka itu.

Begitupun, apa yang dikatakannya perlu diberikan perhatian. Ini berkaitan dengan kenyataan beberapa politikus kita yang mengatakan bahawa untuk menolak pelantikan Muhyiddin bermaksud mencabar monarki.

Agong kita

Antara pemimpin politik yang menyuarakan pendapat sebegini ialah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Minggu lalu, Hadi menuduh desakan Pakatan Harapan (PH) untuk menduga sokongan Muhyiddin di Parlimen sebagai percubaan untuk “memulakan undi tidak percaya” kepada monarki.

Kenyataan Hadi penting kerana partinya kini berkuasa di peringkat pusat, gara-gara komplot yang mencetuskan kerajaan PH untuk jatuh pada lewat Februari.

Di sini, sebuah parti Melayu-Islam yang sangat berpengaruh menyatakan sebarang percubaan untuk menduga keabsahan Muhyiddin di Parlimen sebagai memperlekehkan kuasa Agong.

Ia suatu percubaan jahat untuk menyatakan yang Agong kita sekadar pemerintah feudal, bukan sebagai Agong yang tertakluk di bawah Perlembagaan.

Faktanya, Agong kita bukanlah seorang pemerintah feudal dari zaman batu dengan kuasa yang mutlak. 

Mungkin PAS menanggapinya seperti itu kerana mahu membenarkan rampasan kuasanya yang haram.

Oleh kerana PAS mahukannya dilihat begitu, tidak bermaksud PAS, atau sesiapa saja mempunyai hak untuk memutar-belit kedudukan monarki kita.

Agong kita – saya menggunakan kita, oleh kerana baginda Sultan terikat dengan Perlembagaan untuk mengangkat kepentingan semua rakyat Malaysia – sudah pun membuat pentaksiran siapa yang dirasakan oleh baginda yang menguasai majoriti di Parlimen.

Agong sudah pun melaksanakan tugasnya berdasarkan Perlembagaan dengan sepenuh kudratnya.

Jikapun nanti terdapat keraguan terhadap keabsahan Muhyiddin, biarpun dengan keputusan yang telah dicapai, ia tertakluk kepada Perlembagaan dan adalah wajar untuk menguji keabsahannya di Parlimen nanti.

Benar, undi tidak percaya sudah pernah dijalankan di Parlimen kepada seorang perdana menteri kita sebelum ini.

Pada Januari 1976, selepas meninggalnya Abdul Razak, Hussein Onn dilantik sebagai perdana menteri ketiga. Hussein Onn tidak menggunakan pelantikan dari Istana sebagai carte blanche (kuasa penuh). 

Peguam GK Ganesan mencatat bahawa 11 hari selepas Hussein Onn dilantik, beliau memanggil sebuah mesyuarat di Parlimen untuk mengadakan undi percaya kepadanya.

Hanya selepas memperolehinya, Hussein Onn kemudiannya menjalankan tugas sebagai perdana menteri mengikut lunas Perlembagaan. “Beliau tidaklah dikatakan menyanggah kuasa Raja”, tulis Ganesan.

Begitulah situasinya sekarang juga.

Tugas Agong kita mengikut lunas Perlembagaan adalah untuk mengangkat demokrasi berparlimen.

Oleh itu, sukar untuk saya fahami jika sebarang percubaan untuk memastikan hal ini di Parlimen ditentang jika benar Muhyiddin menguasai majoriti di Parlimen. 

Untuk berpendapat sebaliknya adalah untuk mengatakan bahawa Agong kita bukanlah tertakluk di bawah sistem Raja Berpelembagaan.

Sepertinya, segala keputusan oleh Agong kita adalah kuasa penuh bagi seorang perdana menteri serta pakatan yang tidak diundi oleh warga Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Politikus kita

Untuk itu, kita perlu kembali kepada Muhyiddin yang memutuskan untuk menunda persidangan di Parlimen dari 9 Mac ke 18 Mei, untuk memberinya masa bagi memutuskan barisan kabinetnya, serta menteri baru untuk bersedia dengan soal-jawab di Parlimen.

Pendapat itu dipersetujui oleh Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, yang partinya sendiri ditolak oleh rakyat Malaysia dalam PRU lepas.

Alasan itu dapat diterima pakai jika ia sesi sidang Parlimen yang biasa untuk memastikan ahli Parlimen bersedia untuk kepentingan rakyat. 

Namun begitu, keadaan semasa yang runcing khususnya melibatkan perlantikannya, Muhyiddin tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk tidak memanggil sidang Parlimen, seperti apa yang dilakukan oleh Hussein Onn sebelumnya, untuk menyatakan beliau mempunyai dukungan Yang Berhormat.

Lebih lambat sidang dipanggil, lebih jelaslah pandangan bahawa pakatan yang ditunjangi oleh Bersatu-BN-PAS ini bukanlah apa yang diundi oleh rakyat Malaysia. Mengapa?

Pertamanya, keputusan PRU14 yang jelas tidak berpihak kepada mereka.

Kedua, dengan runtuhnya kerajaan yang diundi oleh rakyat Malaysia sebelumnya, masih tidak jelas jika Muhyiddin sebenarnya mempunyai dukungan majoriti di Dewan Rakyat ketika Agong kita melantiknya. 

PH – tidak termasuk pemimpin Bersatu yang mendukung Muhyiddin – di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad, dapat menunjukkan mereka mendapat dukungan 114 ahli Parlimen ketika Muhyiddin dilantik pada paginya itu.

Tambahan pula, Dr Mahathir tidak dapat bertemu dengan Agong sebelum Muhyiddin dilantik menjadi perdana menteri.

Ketiga, Muhyiddin enggan menyatakan senarai penuh ahli Parlimen yang mendukungnya supaya orang awam dapat memutuskan jika beliau benar-benar mendapat sokongan seperti yang disampaikan kepada Agong.

Keempat, Muhyiddin enggan untuk mengabsahkan kedudukannya dengan menunda sesi persidangan Parlimen.

Undi kita

Soalan yang perlu dijawab semua orang ketika ini adalah bagaimana apa yang berlaku sehingga sekarang, yang mengakibatkan pakatan Bersatu-BN-PAS berada di tampuk kuasa, dapat menggambarkan undi kita semua?

Semenjak dilantik, Muhyiddin sukar untuk menerangkan beliau tidak mempunyai pilihan kecuali “untuk menyelamatkan negara dari krisis yang berlanjutan”. Faktanya, warga Malaysia tidak perlu diselamatkan. 

Kita menunjukkan pada PRU pada Mei 2018 bahawa kita boleh membuat pilihan di dalam sistem demokrasi dengan tidak mengundi BN yang dikuasai Umno.

Kita tidak memerlukan politikus untuk menyelamatkan kita, apatah lagi oleh seseorang yang tidak mahu kuasanya diabsahkan secara terang-terangan.

Kita sudah membuat pilihan dengan jelas ketika PRU14. Kita mengundi kerajaan baru kerana kita tidak mahukan kerajaan yang dikuasai Umno, yang pemimpinnya berdepan dengan dakwaan rasuah melibatkan berbilion Ringgit Malaysia. 

Namun begitu, Umno kembali berkuasa, seperti yang dikatakan Muhyiddin, kerana beliau tidak punyai pilihan.

Faktanya, dalam sebuah demokrasi, ia bukan tentang pilihan seorang politikus. Ia adalah soal pilihan rakyat.

Jika benarlah, Muhyiddin benar-benar mempunyai dukungan majoriti sekalipun. Itu pun sehingga sekarang tidak dapat diperakuinya.

Lebih-lebih di mana, kerajaan Perikatan Nasional yang baru ini ditunjangi oleh parti-parti yang ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia, bagaimana mungkin sesebuah kerajaan ini akan mewakili harapan rakyat di dalam sebuah demokrasi, jika ia tidak pernah diuji? – 10 Mac, 2020.

* Jacqueline Ann Surin adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen