PEKERJA penyelamat Iran bertungkus lumus mengorek runtuhan bangunan bagi mencari mangsa yang terselamat selepas gempa bumi melanda sempadan Iran-Iraq pada Isnin, menyebabkan lebih 300 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera.
Gempa berukuran 7.2 magnitud melanda kawasan sempadan 30 kilometer dari barat daya Halabja di Kurdistan Iraq kira-kira jam 9.20 malam (waktu tempatan) pada Ahad, ketika ramai penduduk berada di kediaman masing-masing, kata Pemantau Geologi AS.
Kawasan yang paling teruk terjejas adalah di wilayah barat Iran Kermanshah, di mana pejabat korronari memberitahu stesen televisyen negeri sekurang-kurangnya 328 orang maut manakala 2,350 orang cedera.
Merentasi sempadan di Iraq, di kawasan yang kurang berpenghuni, kementerian kesihatan berkata lapan orang maut dan ratusan lagi cedera.
Terdapat warga Iran yang tidur di luar selepas melarikan diri daripada kediaman mereka di wilayah pergunungan, di mana pihak berkuasa sedang menyalurkan bantuan ke kawasan terjejas.
Menurut laporan media tempatan, seorang wanita bersama bayinya berjaya dikeluarkan daripada runtuhan di pekan Sar-e Pol-e Zaham yang merupakan kawasan paling teruk terjejas.
Menurut pegawai terbabit, pihak berkuasa kini sedang membina satu kem bantuan namun akses ke kawasan terjejas agak sukar.
Ketua perkhidmatan kecemasan Iran Pir Hossein Koolivand berkata, ianya sukar untuk menghantar pasukan penyelamat berikutan jalan raya yang terputus akibat tanah runtuh.
Agensi berita IRNA berkata 30 pasukan Palang Merah dihantar ke zon gempa, di kawasan yang terputus bekalan elektrik.
Pemerintah Iran Ayatullah Ali Khomeini mengarahkan kerajaan dan pasukan tentera untuk menggerakkan segala aset mereka untuk membantu rakyat yang terjejas. – AFP, 13 November, 2017.
Komen