Untuk apa sebenarnya masuk Bersatu


1. SAYA ingin mengucapkan tahniah kepada tiga (daripada 13) ahli Parlimen Bersatu yang asal dilantik ke jemaah menteri bawah Perdana Menteri, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

2. Di waktu kemelut politik kini, saya ingin mengimbau kembali persoalan yang pernah dibangkitkan Allahyarham Dr Ismail, buat renungan seluruh rakyat Malaysia dan ahli-ahli Parlimen - “Mengapa kita bangunkan Malaysia? Malaysia yang bagaimanakah yang kita ingin bangunkan?”

3. Sewaktu mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu tanggal 23 Februari yang lalu, sememangnya Dr Mahathir telah merayu kepada MPT supaya jangan memaksa beliau melanggar prinsip beliau selanjutnya memungkiri janji beliau kepada rakyat.

4. Dr Mahathir juga telah menekankan kepada ahli-ahli MPT bahawa mereka perlu meletakkan diri mereka sepertimana rakyat marhaen dan menilai segala keputusan yang dibuat oleh wakil rakyat atau Menteri sepertimana diterima oleh rakyat.

5. Ini membawa saya kepada persoalan utama perjuangan ini - kenapa saya sertai Bersatu? Pada ketika itu, Bersatu merupakan satu-satunya landasan bagi menggapai peluang untuk masa depan yang lebih mampan dan berintegriti setelah skandal yang cukup meranapkan reputasi bangsa Melayu.

6. Justeru itu, saya ingin melontarkan persoalan sama kepada semua ahli-ahli Parlimen Bersatu - kenapa anda menyertai Bersatu?

7. Apa yang saya lihat dengan mata kepala saya sendiri, hala tuju Bersatu dan secara tak langsung, Malaysia sendiri, tampak semakin sesat dan kemelut semakin meruncing.

8. Berpandukan tamak haloba politikus semasa, perangai politikus kini menyebabkan umum menganggap bangsa Melayu sebagai bangsa Lanun - bangsa yang kerapkali bertindak mengikut perasaan tanpa rasa bertanggungjawab atas akibat dari tindakan beremosi tersebut. Suatu bangsa yang tidak bertulang belakang dan hanya mementingkan diri sendiri.

9. Namun, tanggapan buruk ini jauh dari hakikat sebenar.

10. Masalahnya, peradaban Melayu menuntut kesetiaan yang tak berbelah bahagi terhadap kepimpinan bangsa.   Kadangkala kesetiaan ini menjurus kepada ikutan membuta tuli terhadap pemimpin semasa.

11. Disebabkan inilah, timbul rasa sebak bila saya melihat pemimpin sekarang sama ada terlupa atau sengaja buat-buat lupa, akan amanah dan kepercayaan yang rakyat serahkan kepada para politikus sewaktu Pilihanraya Umum lalu.

12. Kesetiaan tak berbela bahagi rakyat yang dizahirkan dengan memangkah nama pemimpin supaya pemimpin tersebut membawa amanah dan kepercayaan ini ke peringkat Parlimen bagi mengembalikan maruah bangsa dan menolak pengingkaran kepimpinan lalu.

13. Ia hasrat rakyat yang dikongsi bersama tanpa mengira parti atau kepentingan politik. Sedih saya melihat kesetiaan rakyat kepada pemimpin politikus ini dipermain dan diperkotak katikkan bagi mencapai cita-cita politik sesetengah pihak.

14. Sekalipun Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri, tidak bererti hanya hasrat mereka yang mengundi Bersatu yang terkesan.

15. Malahan keputusan Bersatu untuk kembali bersekongkol dengan Umno, merupakan suatu pengkhianatan terhadap perjuangan asal Bersatu dan seluruh rakyat yang mengharapkan kembalinya maruah bangsa dengan jatuhnya golongan kleptokrat.

16. Makanya, bagi menyelesaikan kemelut ini, kita perlu kembali ke pangkal jalan dan mendakap semula asas perjuangan kita. Saya cukup teguh dalam pendirian saya dari aspek ini, adakah anda? – 10 Mac, 2020.

* Tariq Ismail Bin Mustafa adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen