Kabinet berkhidmat untuk siapa?


The Malaysian Insight

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Kabinetnya yang mempunyai 31 menteri dan 38 orang timbalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin melangkaui kemampuannya bagi sebuah kerajaan yang mempunyai majoriti paling tipis di Malaysia. Tentulah soal majoriti itu boleh dipertikai.

Namun beliau benar-benar melangkau kemampuannya. Satu Kabinet dengan 31 menteri dan 38 timbalan – lebih besar daripada Kabinet Dr Mahathir Mohamad dengan 27 menteri dan 26 timbalan, walau menguasai majoriti amat kecil dengan jumlah 114 ahli Parlimen.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai perdana menteri untuk membentuk sebuah kabinet yang mampu menyelesaikan permasalahan rakyat dan membawa negara kita ke mercu kejayaan yang lebih gemilang,” katanya sewaktu mengumumkan senarai anggota Kabinet.

Namun jumlah menteri dan timbalan menteri yang terlalu besar menunjukkan kelemahan seorang PM yang perlu memuaskan hati setiap anggota gabungan kecilnya, dari Umno, PAS, hinggalah kepada BN dan GPS.

Malah, janji untuk menyertakan beberapa teknokrat juga tidak berhasil kerana ada pertimbangan politik yang perlu dipenuhi. Hanya ada dua, jika anda mengambil kira Mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Selebihnya adalah ahli politik, sama ada yang melompat parti selepas pilihan raya umum 2018 atau yang keluar Pakatan Harapan, dan sebahagian yang melompat ke sana sini baru-baru ini.

Jadi Kabinet ini akan berkhidmat untuk siapa?

Pertamanya adalah parti yang membolehkannya terbentuk. Ganjaran awal adalah jawatan kepada lebih separuh daripada ahli Parlimen dalam gabungan baharu, khususnya 10 daripada 11 yang dipecat atau meninggalkan PKR.

Ini diikuti wakil rakyat yang menyeberang dari Umno kepada Bersatu.

Kemudian, bolehkah anda yakin kepada ahli politik PAS di Kementerian Alam Sekitar? Parti ini mentadbir Kelantan sejak 1990 dan sejak itu begitu banyak kawasan hutan diteroka untuk pembalakan dan ladang durian – memusnahkan kediaman dan sumber kehidupan Orang Asli.

Kedua, ahli politik dengan kes rasuah yang tidak dapat dibuktikan seperti Hishammuddin Hissein dengan kes pembelian helikopter tentera, atau Annuar Musa dengan kes sewaktu menjadi pengerusi Mara – ketika agensi kerajaan itu dibelit skandal harta tanah.

Ketiga, pihak yang berpendapat, kerajaan pelbagai kaum bermaksud jawatan diberi sebagai tanda ihsan kepada minoriti dalam negara. Mungkin ia disebabkan parti majoriti Melayu dan PN, tetapi inikah Malaysia tahun 2020?

Bagaimana kerajaan ini dapat bertahan sewaktu belanjawan negara terakhir berasaskan harga minyak pada harga AS$60 sedangkan harga minyak kini berlegar pada paras AS$30?

Bagaimana kerajaan ini dapat menghadapi kejatuhan ekonomi ekoran penularan jangkitan Covid-19?

Bagaimana kerajaan ini dapat menangani skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan seluruh menterinya yang berdiam diri apabila ia berlaku?

Realitinya, orang tidak mengharapkan apa-apa dari kerajaan yang tidak mereka pilih. Malaysia kini sebuah negara dengan seorang perdana menteri yang hanya memuaskan hati sekutu kerana memberi jawatan kepadanya dan bukannya harapan rakyat. – 10 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen