Sama-sama kita bina sebuah negara, kata bekas mufti Wilayah


SM Amin

Bekas mufti yang kini jadi menteri, Zulkifli Mohamad Al- Bakri berkata, rakyat Malaysia harus realisitik dan tidak mudah terpengaruh dengan badai politik yang berpunca daripada sentimen semata-mata. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 10 Mac, 2020.

BEKAS mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad Al- Bakri menyeru seluruh rakyat Malaysia bersama-sama membina sebuah negara yang aman dan mengelakkan kemelut politik daripada berulang.

Beliau yang baru dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, rakyat Malaysia harus realisitik dan tidak mudah terpengaruh dengan badai politik yang berpunca daripada sentimen semata-mata.

“Kami mengharapkan sejumlah besar doa daripada seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama kita bina sebuah negara yang aman damai dan makmur, keharmonian berada pada tahap yang puncak, sifat saling toleransi kasih sayang, rahmah dan saling hormat menghormati.

“InsyaAllah badai politik yang semata-mata kerana sentimen dapat dibanteras. Sama-sama kita berpijak kepada bumi yang nyata dan kita katakan inilah Malaysia negara kami yang kami cintai, tanah watan kami yang kami mahu bina dengan sebaik mungkin,” katanya.

Zulkifli berkata demikian ketika ditemui media selepas mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara hari ini.

Dalam pengumuman barisan anggota kabinet baharu oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam, Zulkifli muncul sebagai mufti pertama di negara ini dilantik menganggotai barisan jemaah Kabinet.

Bekas ketua pegawai eksekutif CIMB Group Holdings Bhd Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang akan menerajui Kementerian Kewangan pula berharap beliau diberi ruang untuk melakukan tindakan yang wajar untuk memulihkan ekonomi negara.

“Saya bukan ahli politik. Saya harap saya diberi ruang untuk lakukan perkara yang perlu dilakukan. Apa yang kita perlu ketika ini adalah untuk fokus terhadap cabaran ekonomi global.

“Beri saya ruang untuk mulakan kerja dahulu. Saya akan diberi taklimat oleh MOF. Selepas itu baru saya boleh berikan pandangan saya mengenai situasi ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berharap Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican dapat meneruskan usaha baik yang dilakukan oleh menteri terdahulu.

“Keutamaan saya adalah untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada menteri KBS dan juga harap beliau dapat meneruskan usaha baik yang dilakukan oleh menteri sebelum ini.

“Saya perlu bincang dengan menteri dahulu esok. Banyak perkara yang baik yang boleh kita teruskan antaranya Inisiatif Reben Kuning dan Malaysia Future Leader School,” katanya yang dilantik sebagai timbalan menteri kementerian tersebut.

Ketika ditanya mengenai usia menteri yang sudah menjangkau 48 tahun, Fayhsal menyifatkan ianya bukan satu masalah selagi mana Reezal memahami aspirasi anak muda dan atlet.

“Selagi mana beliau dapat memberikan sumbangan dan memahami aspirasi anak muda dan atlet, saya percaya beliau mampu menerajui kementerian ini,” ujarnya. – 10 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen