MENTERI Besar Perak Ahmad Faizal Azumu hari ini menyerahkan surat letak jawatan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sehari selepas beliau mengumumkan kerajaan Pakatan Harapan runtuh diganti Perikatan Nasional.
Faizal hari ini menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta di Ipoh untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya dan memaklumkan perkembangan terkini politik negeri.
“Saya telah menyembah maklum kepada baginda tuanku apabila Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) keluar daripada Pakatan Harapan (PH), tergugurlah kerajaan PH di Perak.
“Selari dengan perkara itu, saya telah persembahkan warkah peletakan jawatan selaku Menteri Besar dan memaklumkan pelucutan semua jawatan ahli-ahli Exco secara serta-merta,” katanya kepada pemberita di Ipoh.
Menurut Faizal beliau menyerahkan kepada budi bicara Tuanku untuk menentukan menteri besar.
Semalam, Faizal mengumumkan Bersatu bersama Barisan Nasional dan PAS akan membentuk kerajaan baharu dalam gabungan Perikatan Nasional, sama seperti di Putrajaya.
Gabungan itu mempunyai 32 wakil di Dewan Undangan Negeri Perak, sementara Pakatan Harapan tinggal 24 wakil.
Perikatan Nasional di Perak terdiri daripada 25 Umno, PAS 3 dan Bersatu 4.
Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari dari PKR dan Adun Tualang Sekah Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang sebelum ini wakil rakyat bebas semalam diisytiharkan menyertai Bersatu.
Semalam juga, tiga Adun PH mengumumkan keluar parti masing-masing iaitu Adun Tronoh Paul Yong Choo Kiong dan Adun Buntong A Sivasubramaniam, kedua-duanya dari DAP, dan Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dari Amanah.
Mereka jadi wakil rakyat bebas tetapi menyokong Perikatan Nasional. – 10 Mac, 2020.
Komen