Kabinet baharu mampu pulih keyakinan rakyat, kata Umno


SM Amin

Ahmad Zahid Hamidi mengulas pengumuman Muhyiddin hari ini, yang membolehkan Umno kembali menyertai Kabinet dengan satu jawatan menteri kanan, lapan menteri dan lapan timbalan menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2020.

UMNO yakin jemaah menteri yang baru diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan memulihkan defisit keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi mendakwa defisit kepercayaan itu ditanggung Pakatan Harapan, yang kehilangan kuasa Putrajaya ekoran kemelut politik yang berlangsung beberapa minggu lalu.

Katanya, Umno akan terus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin menerusi kerajaan yang baharu sahaja ditubuhkan.

“Kami mengambil kira suara akar umbi dan keperluan Perikatan Nasional untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan ekoran defisit kepercayaan (ke atas) Pakatan Harapan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas pengumuman Muhyiddin hari ini, yang membolehkan Umno kembali menyertai Kabinet dengan satu jawatan menteri kanan, lapan menteri dan lapan timbalan menteri.

Jumlah itu hampir menyaingi Bersatu, yang mendapat dua jawatan menteri kanan, lapan menteri dan 13 timbalan menteri.

Secara keseluruhan, 32 menteri dan 38 timbalan menteri dari Bersatu, Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak serta ahli Parlimen Bebas dilantik ke Kabinet Muhyiddin.

Mengulas lanjut Zahid berkata beliau akan memberi tumpuan kepada persiapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas menolak dicalonkan menganggotai barisan Kabinet baharu.

“Saya menolak jawatan Kabinet agar dapat fokus mempersiapkan parti menghadapi PRU ke-15.

“Saya akan membersihkan diri saya di mahkamah dan pertuduhan terhadap saya tidak digugurkan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh peguam negara terdahulu terhadap pemimpin kerajaan sebelum ini,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datok itu berdepan 47 pertuduhan di mahkamah, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Sementara itu, beberapa ahli Parlimen Umno yang baru dilantik sebagai jemaah Kabinet baru merakam rasa syukur ke atas kepercayaan yang diberikan untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Noraini Ahmad yang dilantik sebagai menteri pengajian tinggi berkata beliau tidak melupakan presiden Umno dan pemimpin tertinggi parti yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

“Sesungguhnya, pelantikan ini merupakan amanah besar yang perlu saya pikul dengan penuh tanggungjawab khususnya dalam mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” tambah beliau.

Bagi ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein, beliau tidak menganggap pelantikannya sebagai menteri luar suatu keistimewaan untuk dibanggakan.

“Saya hargai kepercayaan perdana menteri yang melantik saya selaku Menteri Luar Negeri (Wisma Putra).

“Saya tidak anggap lantikan ini sebagai satu keistimewaan. Sebaliknya ia satu amanah besar yang perlu saya galas dengan sedaya upaya saya,” katanya.

Turut merakamkan rasa syukur diberi kepercayaan menganggotai barisan Kabinet, ahli Parlimen Maran Ismail Abd Muttalib.

Beliau menyatakan komitmen untuk membantu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin sebagai timbalan menteri.

“Saya akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk membantu dan menyokong segala usaha YB Menteri dalam memastikan KPKT terus dapat melaksanakan agenda membangunkan rakyat pada tahap terbaik,” katanya. – 9 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen