Dr Mahathir masih calon PM, kata Pakatan


Diyana Ibrahim Noel Achariam

Dr Mahathir pada 1 Mac mendakwa masih mendapat sokongan majoriti dengan 114 ahli Parlimen ketika Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan perdana menteri kelapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2020

DR Mahathir Mohamad masih lagi calon pilihan PH untuk dilantik sebagai perdana menteri sekiranya gabungan parti itu berjaya mengambil alih kerajaan semula, menurut pemimpin parti itu.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata ia antara alasan untuk PH menjemput Dr Mahathir dalam program Pertahan Mandat Rakyat pada malam ini.

Katanya, Dr Mahathir tetap dijemput ke program itu walau bekas perdana menteri tersebut tidak dapat hadir kerana baru saja pulang dari Langkawi.

“Saya berhubung dengan pejabat Tun. Esok saya jumpa  Tun sebab beliau baru balik dari Langkawi.

“Dan hari terakhir (serah perakuan bersumpah kepada Yang di-Pertuan Agong) ketua parti dipanggil ke Istana kita namakan Tun sebagai calon pilihan,” katanya.

Beliau yang ditemui pemberita di Pusat Konvesyen Sime Darby juga menolak dakwaan hubungan PH dengan Dr Mahathir kini goyah.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata ia antara alasan untuk PH menjemput Dr Mahathir dalam program Pertahan Mandat Rakyat pada malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Mac, 2020.

“Saya berhubung dengan Tun, tidak ada isu pun hubungan masih lagi baik dengan Tun,” katanya.

Ditanya sama ada Dr Mahathir masih mendapat sokongan majoriti untuk menjadi perdana menteri, Saifuddin berkata perkara itu akan memaklumkan kepada media kelak.

Dr Mahathir pada 1 Mac mendakwa masih mendapat sokongan majoriti dengan 114 ahli Parlimen ketika Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan perdana menteri kelapan.

Ditanya mengenai strategi untuk menghadapi kerajaan Perikatan Nasional, Saifuddin berkata beliau yakin PH tidak akan menjadi pembangkang untuk tempoh lama.

Beliau juga menjelaskan, acara malam ini bertujuan memberi penerangan kepada barisan pemimpin PH.

“Kita lancar program Pertahankan Mandat Rakyat dan kita akan turun di peringkat negeri dan kawasan Parlimen.

“Jadi kita nak pastikan naratif dan skop  yang betul patut disampaikan  dan penerangan terkini dari segi nombor (jumlah kerusi),” katanya.

Beliau turut mengesahkan kehadiran ahli Bersatu dalam acara tersebut.

“Dalam dewan ini ada (Bersatu) sebab kita jemput wakil dari Perlis sampai ke (peringkat) pusat,” katanya.

Jumaat lalu media melaporkan penganjuran acara itu dilaporkan dan akan turut dihadiri oleh Dr Mahathir yang dijadual berucap di majlis itu.

Program itu menjemput ahli Parlimen, Adun, pemimpin negeri, ketua penerangan negeri dan ketua bahagian parti. – 9 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen