Orang Azmin dilantik menteri, timbalan menteri


Azmin Ali dipecat dari PKR pada 24 Februari lalu, sehari selepas mencetuskan spekulasi adanya gerakan mahu membentuk kerajaan pintu belakang melalui pertemuan dengan ahli Parlimen dari Bersatu, Umno, dan PAS di sebuah hotel. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2020.

SEMUA ahli Parlimen yang mengikut Mohamed Azmin Ali meninggalkan PKR, kecuali seorang, dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri dalam Kabinet Muhyiddin Yassin yang diumumkan hari ini.

Hanya seorang tidak dilantik ke Kabinet, Ahli Parlimen Batu Pahat Abdul Rashid Hasnon.

Azmin dilantik sebagai Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sementara bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin kembali sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, jawatan lamanya sebelum peralihan kerajaan.

Azmin dan Zuraida dipecat dari PKR pada 24 Februari lalu, sehari selepas mencetuskan spekulasi adanya gerakan mahu membentuk kerajaan pintu belakang melalui pertemuan dengan ahli Parlimen dari Bersatu, Umno, dan PAS di sebuah hotel.

Sembilan ahli Parlimen PKR kemudian mengumumkan keluar parti menyokong Azmin, dan membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.

Ketika kemuncak kemelut politik dua minggu lalu, semua mereka termasuk Azmin dan Zuraida dilaporkan diterima sebagai ahli Bersatu dan menyokong Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.

Seorang lagi, Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian bagaimanapun kemudiannya menarik balik sokongan dan memihak bersama kem yang mencalonkan Dr Mahathir Mohamad.

Daripada tujuh penyokong Azmin yang meninggalkan PKR, seorang dilantik sebagai menteri sementara enam lagi timbalan menteri dalam Kabinet Muhyiddin.

Saifuddin Abdullah, yang sebelum ini Menteri Luar Negeri dalam pentadbiran Pakatan Harapan yang runtuh, hari ini dinamakan sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Kamaruddin Jaafar, yang juga timbalan menteri dalam Kabinet yang lalu, dilantik sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri. Beliau sebelum ini timbalan di portfolio pengangkutan.

Dr Mansor Othman dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi manakala Santhara Kumar diumumkan sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Tiga lagi yang dilantik sebagai timbalan menteri adalah wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak iaitu Jonathan Yasin (Timbalan Menteri Dalam Negeri II), Willie Mongin (Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II), dan Ali Biju (Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Manusia). – 9 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen