Muhyiddin bakal lantik 4 menteri penyelaras


The Malaysian Insight

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyerahkan senarai Kabinetnya kepada Yang di-Pertuan Agong pagi tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2020.

KABINET Muhyiddin Yassin akan mempunyai empat menteri penyelaras - sama seperti Singapura dan Indonesia - yang terdiri daripada empat parti utama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), kata sumber hari ini.

Tidak akan ada timbalan perdana menteri, bertentangan dengan senarai berlegar dalam kumpulan WhatsApp hari ini yang mendakwa jawatan itu dipegang oleh Hishammuddin Hussein daripada Umno, menurut satu sumber kepada The Malaysian Insight.

“Semua orang bersetuju tidak ada TPM,” kata sumber itu.

Sebaliknya, Hishammuddin dijangka menyelaraskan perkara berkaitan keselamatan manakala Mohamed Azmin Ali akan menjadi menteri penyelaras untuk kewangan dan ekonomi. 

Difahamkan Fadillah Yusof daripada Gabungan Parti Serawak (GPS) mungkin akan bertanggungjawab terhadap prasarana manakala pemimpin PAS, Takiyuddin Hassan akan berperanan dalam perkhidmatan sosial.

Muhyiddin, yang dilantik sebagai perdana menteri kelapan Malaysia pada 1 Mac, membentangkan senarai Kabinetnya kepada Yang di-Pertuan Agong pagi ini dan mengadakan taklimat untuk semua ahli Parlimen PN.

Beliau akan mengumumkan barisan Kabinetnya pada pukul 5 petang.

Langkah ini tidak pernah berlaku di Malaysia dan merupakan peralihan budaya dalam cara perkhidmatan awam menangani cabaran yang merentasi pelbagai agensi.

Struktur tidak konvensional ini akan membolehkan beberapa bentuk fleksibiliti bagi mengisi kementerian yang memerlukan kepakaran dan boleh memperbaiki bagaimana dasar dirangka dan dilaksanakan.

Muhyiddin yang dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac selepas kebuntuan selama seminggu, bergabung dengan Umno, PAS, dan kem daripada PKR untuk membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN). GPS mengumumkan ia mesra PN.

Pengkritik PN menyifatkan gabungan ini sebagai sebuah kerajaan pintu belakang selepas ia menyingkirkan Dr Mahathir Mohamad daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan pemerintah.

Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada PH pada 24 Februari, yang menyebabkan pentadbiran 22 bulan gabungan itu tumbang.

Pengkritik juga melahirkan kebimbangan Muhyiddin akan membawa kembali pemimpin Umno yang dibicarakan di mahkamah berhubung pelbagai kesalahan seperti rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa ke dalam pentadbiran baru. – 9 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen