Azam Baki ganti Latheefa Koya ketuai SPRM


Azam Baki dilantik ketua SPRM berkuatkuasa hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Mac, 2020.

AZAM Baki dilantik sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuat kuasa hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan menyatakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan Azam selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Azam merupakan timbalan ketua pesuruhjaya (Operasi) SPRM sebelum ini.

Pejabat Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa Seri Paduka telah memperkenan permohonan Latheefa Beebi Koya untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya  SPRM berkuat kuasa hari ini (9 Mac).

Ia selaras dengan subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

“Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Latheefa Beebi Koya atas perkhidmatan beliau kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM,” menurut kenyataan itu..

Pada 6 Mac, Latheefa mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Latheefa dalam satu kenyataan berkata surat itu dihantar pada 2 Mac lepas dan ia adalah keputusan beliau sendiri.– Bernama, 9 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen