Mampukah Melayu terbela di bawah pimpinan Perikatan Nasional?


KERAJAAN pimpinan Pakatan Harapan telah tumbang dan runtuh. Kerjasama yang terjalin selama 20 bulan akhirnya musnah dalam sekelip mata apabila perdana menterinya meletak jawatan, dan sebahagian ahli-ahlinya bertindak memutuskan kerjasama yang ada.

Oleh itu, wujudlah satu kerjasama politik baru yang diberi nama Perikatan Nasional, iaitu hasil kerjasama yang terjalin antara Barisan Nasional, PAS, Bersatu dan GPS.

Gabungan ini telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk kerajaan.

Namun, sehingga ke hari ini, senarai ahli kabinet masih belum diumumkan dan siapa yang akan menjawat jawatan-jawatan penting masih lagi samar-samar.

Cuma jawatan yang telah disahkan oleh Yang di-Pertuan Agong hanyalah jawatan perdana menteri yang disandang oleh Muhyiddin Yassin.

Antara isu berbangkit yang menjadi perbualan hangat sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini ialah isu-isu yang melibatkan kepentingan orang Melayu. Orang Melayu mendakwa hak-hak dan maruah mereka ditindas dan tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Beberapa isu melibatkan orang-orang Melayu yang dikatakan tidak mendapat perhatian yang sewajarnya termasuk kes kematian anggota bomba (Allahyarham Adib), penjualan aset Tabung Haji dan penentangan terhadap golongan agamawan.

Orang Melayu menjadi begitu takut akan hak-haknya yang semakin lama semakin terhakis. Lebih-lebih lagi apabila dituduh sebagai bangsa pemalas, menjadikan orang Melayu begitu marah terhadap kerajaan PH.

Sebab itulah, apabila tumbangnya kerajaan PH tempoh hari, boleh dikatakan sebahagian besar orang Melayu gembira dengan apa yang berlaku.

Kesilapan besar yang dilakukan oleh kerajaan PH sebelum ini ialah mengabaikan tuntutan dan suara orang-orang Melayu.

Perlu kita sedar, bangsa majoriti yang mengundi semasa pilihan raya adalah orang Melayu. Jika mana-mana parti politik gagal menarik sokongan orang Melayu, maka parti itu akan menghadapi kesukaran untuk memenangi pilihan raya.

Sebab itulah, parti-parti yang berasaskan kaum Melayu seperti Umno, PAS dan Bersatu sentiasa berusaha keras menawan hati orang-orang Melayu.

Mereka juga sedar, apabila hilangnya sokongan oleh orang-orang Melayu, parti mereka akan mendapat susah pada masa akan datang.

Mereka juga sudah semakin sedar, rasuah dan salah guna kuasa amat dibenci oleh orang Melayu.

Sebab itulah, kerajaan BN sebelum ini yang telah mentadbir negara selama lebih 60 tahun akhirnya tumbang.

Ketika BN berkuasa, pemimpin-pemimpinnya terlalu percaya bahawa orang Melayu boleh ‘digelapkan’ dengan duit. Maka, segala projek, sumbangan, dan bantuan ‘ditabur’ untuk menambat hati orang Melayu.

Orang Melayu menolak rasuah. Mereka juga menolak pemimpin-pemimpin korup yang penuh dengan masalah. Sebab itulah, orang Melayu majoritinya membantah jika ada sebarang usaha untuk menaikkan semula pemimpin-pemimpin bermasalah.

Oleh itu, kerajaan Perikatan Nasional nampaknya akan berhadapan dengan ujian yang sangat getir dalam usaha untuk membela nasib orang Melayu.

Kerajaan Perikatan Nasional tidak boleh tersilap langkah. Jika tersilap percaturan, kerajaan yang dibina akan ditolak oleh rakyat.

Pesan penulis, lantiklah individu yang betul-betul layak dengan jawatan yang akan disandang.

Kelak, pemimpin-pemimpin yang akan dilantik nanti bukan hanya mewakili suara orang Melayu, Cina dan India sahaja, tetapi mewakili keseluruhan rakyat Malaysia.

Cukuplah dengan segala kemelut politik yang berlaku dalam negara.

Kini, tiba masa untuk memulihkan yang telah rosak, membangunkan semula apa yang telah runtuh dan mengembalikan semula kegemilangan yang telah hilang.– 9 Mac, 2020.

* Syahmi Minhad adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Artikel paling bodoh ditulis oleh Syahmi. Tak ada bukti dalam artikel. Orang Melayu takut? mana buktinya. ? Sebenarnya yang ditakutkan ialah bayang- bayang sendiri. Sebab orang Melayu sungguh malu bila diketahui yang orang UMNO Melayu sendiri yang mencuri , menipu.

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Aran Thillainathan · Ulasan