PERIBUMI Sarawak iaitu Dayak, Melayu dan Melanau memberikan tiga bulan kepada kerajaaan negeri untuk memberi maklum balas terhadap tuntutan mereka yang mahu Kanun Tanah dipinda.
Tuntutan yang bertujuan untuk memberi kuasa udang-undang kepada pemilikan adat tanah mereka itu terkandung dalam memo yang akan diserahkan oleh pemimpin-pemimpin masyarakat kepada Timbalan Ketua Menteri Douglas Unggah Embah hari ini. Beribu-ribu penduduk peribumi membantah di hadapan mahkamah lama Kuching.
Unggah turut mengetuai jawatankuasa “pemakai menoa” dan “ulau galau” untuk mengakji keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah menimbulkan kekecohan berkaitan isu tanah di negeri itu.
“Kami mahu ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’ disertakan didalam pindaan Kanun Tanah,” kata aktivis hak tanah dan salah seorang penganjur utama bantahan, Nicholas Bawin.
Disember lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Dayak kepada “pemakai menoa” dan “pulau galau” tidak mempunyai kuasa undang-undang dan NCR hanya terpakai kepada “temuda” (tanah ladang).
“Kami mahu kerajaan beri maklum balas dan komitmen yang pindaan itu akan dibuat pada sidang Dewan Undangan Negeri kana datang,” kata Bawin.
“Amalan adat ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’ telah digunakan orang Dayak sejak dulu lagi, tetapi ia tiada dalam Kanun Tanah.
“Kami mahu pindaan supaya amalan itu sangat jelas.”
Peguam hak tanah Baru Bian berkata bantahan hari ini merupakan kemuncak kepada perjuangan panjang penduduk peribumi negeri itu ke atas hak adat mereka untuk tanah.
“Kami telah berjuang di mahkamah undang-undang, dan dua kali di Dewan Undangan Negeri.”
Kata ketua PKR Sarawak itu, tanah adalah perkara yang serius dan isu ini tidak hanya tertumpu kepada Dayak, tetapi melibatkan semua peribumi seperti Melayu, Melanau dan Kedayan.
Baru yang juga Adun Ba Kelalan pada minggu lepas membentangkan rang undang-undang ahli persendirian untuk membahaskan pindaan kepada Kanun Tanah tetapi ditolak atas alasan teknikal.
Dalam undian berikutnya, 58 Adun Barisan Nasional (BN) mengundi menentang RUU itu, manakala 10 Adun menerima.
Baru berkata alasan teknikal itu adalah alasan yang lemah.
‘Jangan beri alasan teknikal.”
Selain daripada bantahan di mahkamah lama Kuching, satu perhimpunan juga dijadualkan diadakan di kompleks mahkamah baharu di Petra Jaya.
Ratusan penunjuk perasaan dibawa dari Bintulu dan Miri menaiki bas, dan ada yang memakai pakaian tradisonal mereka. – 13 November, 2017.
Komen