Bapa Adib harap sinar baharu lepas Perikatan ambil alih


Zaim Ibrahim

Rakyat menuntut keadilan terhadap kematian Muhammad Adib yang terkorban selepas mengalami kecederaan akibat insiden rusuhan di kuil Seafield pada hujung 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2020.

PELETAKAN jawatan Tommy Thomas sebagai peguam negara memberi sinar baharu buat keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang berharap kematian anggota bomba itu akan terbela.

Bapanya Mohd Kassim Abdul Hamid berkata mereka juga berharap kerajaan baru dikuasai pemimpin Melayu, Perikatan Nasional akan bersungguh-sungguh dalam mencari kebenaran dalam kes itu.

“Kita memang rasa seperti ada harapan baru, yang positif untuk Adib.

“Kita belum tahu macam mana dengan peguam negara baru tetapi tetapi harap-harap ada benda baik untuk kes ini.

“Kita minta peguam negara baharu bersungguh-sunguh dan beri tumpuan untuk kes Muhammad Adib. Kita tidak mahu seperti sebelum-sebelum ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Mohd Kassim dan isterinya juga berulang kali menggesa polis mencari individu yang menyebabkan kematian anak mereka.

Bagi Mohd Kassim, 65, kes itu belum selesai sehingga pembunuh anaknya belum ditangkap namun polis tidak menghubungi beliau sejak keputusan inkues ke atas kematian Adib diumumkan tahun lalu.

Bapa Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid masih perkembangan kes pembunuhananak lelakinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2020.

“Daripada tahun lepas, tak dengar apa-apa berita lagi. Kita minta polislah sungguh-sungguh jalankan tugas ini, sekarang kuasa pemerintahan dah tukar… Jadi harap cari dan tangkap pesalah-pesalah.

“Itu harapan sebenar kita..polis cari dan tangkap pelaku. Lama mana kena tunggu tak tahu, cuma harap kerajaan baru ni boleh bagi perhatian lebihlah.”

Katanya, bantahan yang ditimbulkan selama ini berpunca daripada tindakan kerajaan yang tidak bersungguh-sungguh menangani kes berkenaan.

“Kita dah ada bukti-bukti dan punca kematian Adib.  Pihak berkuasa saja yang orang lihat tak sungguh-sungguh. Sebab itu semua orang (rakyat Malaysia) tidak puas hati,” tambahnya.

Peguam keluarga itu Aidil Khalid pula berkata, mereka akan mencabar keputusan mahkamah menolak permohonan menyabitkan peguam negara pada waktu itu, Tommy Thomas dengan kesalahan menghina mahkamah.

Permohonan tersebut mencabar keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan Rabu ini, katanya kepada The Malaysian Insight.

Ia berhubung kenyataan serius Thomas bahawa kematian Adib bukan disebabkan kecederaan yang dialami.

Pemimpin Umno dan PAS yang kini merupakan antara parti dalam kerajaan baharu Perikatan Nasional giat membantah tindakan Thomas dan Pakatan Harapan dalam kes menangani kes itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2020.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika inkues masih lagi berjalan pada Julai.

“Hakim Mahkamah Tinggi memberikan alasan bahawa Pak Kassim (Mohd Kassim) dan isteri ketika itu mengerjakan haji di Mekah, oleh sebab itu abang kepada arwah Adib yang memfailkan afidavit.

“Hakim berkata perkara ini tidak menepati prosedur ditetapkan mahkamah sebab pemohon adalah Pak Kassim tetapi yang memfailkan anaknya.

“Ini isu yang kita akan bangkitkan dalam Mahkamah Rayuan nanti,” katanya.

Dalam masa sama, beliau juga akan mengkaji dan menyemak kes ini kerana keputusan terdahulu dibuat ketika Thomas menjadi peguam negara.

Thomas meletak jawatan minggu lalu susulan pembubaran kerajaan Pakatan Harapan.

Pemimpin Umno dan PAS yang kini merupakan antara parti dalam kerajaan baharu Perikatan Nasional giat membantah tindakan Thomas dan Pakatan Harapan dalam kes menangani kes itu.

Muhammad Adib meninggal dunia sewaktu bertugas ketika siri rusuhan ganas membabitkan kumpulan besar penganut di sebuah kuil di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada penghujung 2018. – 8 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen