Cerita Mat Samseng naik angin 


Zainal Rashid Ahmad

PADA Februari 2018 tiba-tiba saja Mat Samseng berubah. Daripada watak beringas dan mudah melenting, anak Changloon, Kedah ini berubah jadi bangsawan politik.

Sikapnya yang sangat prihatin dan begitu progresif berkempen menyuarakan pembaharuan politik mengejutkan kawan-kawan.

Anak Kedah yang merantau ke Kuala Lumpur pada dekad 90-an ini, memulakan karier sebagai kaki pukul dan tukang tampar muka orang.

Tentulah mengejutkan, apabila dua dekad kemudian Mat Samseng berubah menjadi seperti wakil rakyat.

Mat Samseng tiba-tiba menjadi agen reformasi menentang kleptokrasi.

Siapa Mat Samseng?

Saya sebut dengan nama samaran. Tidak sesuai menjaja nama sebenarnya dalam rencana ini. Sebab kalau sebut namanya, separuh daripada dunia samseng Kuala Lumpur mengenalinya.

Cuma, Mat Samseng bukan penyamun atau kaki “pau”. Apalagi gengster haram mesin judi lumba kuda.

Orangnya digelar samseng kerana sikap banas baran dan kepala angin. Selebihnya hidup Mat Samseng sukses selama berbelas tahun sebagai pemilik restoran kecil dan kontraktor Kelas F. Kemahiran utamanya dalam bidang elektrikal.

Begini. Pada 2012, setahun sebelum PRU12, Mat Samseng sangat totok BN. Dari Kuala Lumpur, Mat Samseng berulang-alik mengendalikan kempen di kawasan Jalan Putera, Kampung Berjaya, Jalan Pintu Sepuluh hingga ke Kancut di Alor Setar.

Agak mengejutkan kerana dia muncul dengan baju BN serta sangat ramah dan mesra. Tanpa sebarang label politik atau keahlian Umno, Mat Samseng jadi komited melobi BN-Umno.

“Aku balik Kedah sebulan dua kali sebab dok kempenkan BN-Umno. Aku percaya konsep Malaysia, mesti Melayu pegang kuasa. Kena ikut cara BN, Umno kepala kuasa,” kata Mat Samseng.

Disebabkan kami berkenalan di dunia lain dengan imej Mat Samseng yang sentiasa kepala angin dan kerap bercakap menggunakan buku lima berbanding lidah, tentulah minat politiknya menjelang PRU 2013 sangat mengejutkan.

Cuma, saya anggap biasa. Barangkali, Changloon dan Alor Setar adalah kampung halaman. Mat Samseng pada usia 40-an, pada waktu itu ingin menjadi anak jati Kedah. Tempat lahirnya dua perdana menteri.

“Kita la kena jaga Umno. Kuasa Melayu dalam BN mesti kekal kerana Umno parti nombor satu,” katanya.

Saya masih ingat, betapa bersemangat Mat Samseng bercerita ketika kami minum kopi di warung Taman Tenaga, Cheras.

Bertubi-tubi Mat Samseng bercakap tanpa henti. Umno, Umno dan Umno.

Aneh betul, si panas baran yang penuh dengan keinginannya menampar dan menumbuk sejak zaman muda, tiba-tiba beralih ke dunia politik.

“Aku pilih BN. Najib nampak boleh bawa Malaysia pergi jauh. Orang Melayu la tak boleh dok perhati saja hal politik. Kita kena main peranan,” katanya.

PRU13 berakhir. Mat Samseng pun hilang entah ke mana. Sesekali saja nampak kelibatnya. Itu biasa. Sebagai pengusaha restoran kecil dan memiliki syarikat menjalankan kerja-kerja pendawaian elektrik, dia nampak sibuk.

Saya faham, ekonomi selepas PRU13 agak menggusarkan. Perniagaannya mulai merosot dan tidak mudah bagi usahawan kecil seperti Mat Samseng mengekalkan rentak pendapatan.

Kesan kemuncupan ekonomi mula terasa dan ketika itu. Fasa munculnya perkataan dramatik “beban kos sara hidup” mula menular dan menjadi kata paling trending.

Saya pun jarang singgah di Taman Tenaga menjengok kawan-kawan lama. Dunia mengopi di situ tidak lagi menyeronokkan tanpa gebang Mat Samseng.

Masa berlalu dan muncullah PRU14 pada Mei 2018.

Mat Samseng anti kleptokrasi

“Kali ini aku takkan sokong BN. Mati hidup balik aku takkan sokong Umno. Semua penyamun,” kata Mat Samseng.

Kami bertemu di restoran berdekatan Bandar Tun Hussein Onn, Cheras.

Saya mendiamkan diri selepas bersalaman. Rungutan mendadak Mat Samseng terasa sangat mengganggu korum perbualan.

Semua rakan-rakan meja kopi terdiam. Wajah bengis Mat Samseng memang merosakkan “mood perbualan”.

“Aku kali ini pilih PH. Biar jahanam Umno dan BN,” katanya.

Kami mendengarnya – rimas dan leceh untuk melayan.

Itu sikap Mat Samseng pada PRU14. Semangat BNnya hilang dan timbul pula ucapan-ucapan mengenai reformasi dan Malaysia Baharu.

Akhirnya PH menang dan membentuk kerajaan. Mat Samseng pun hilang sekali lagi entah ke mana. Sukar ditemui dan melesap entah ke penjuru mana.

Atau barangkali sibuk dengan restoran kecil dan bisnes pendawaian elektriknya.

Atau, sedang mengamuk kerana keadaan ekonomi selepas PH memerintah tetap di takuk lama.

Politik perut

Melayu macam Mat Samseng bukan seorang. Melayu yang hidup atas dasar “politik perut” adalah katalis majoriti yang kini menjadi pengundi.

Melayu “politik perut” bukan bererti negatif. Ia terma yang relevan dengan keadaan ekonomi yang berterusan tidak stabil. Apa lagi, keadaan politik pula yang kekal tegang selepas PRU 14.

Rabu lalu di warung Taman Tenaga, Mat Samseng muncul.

“Celaka semua!”

Katanya sambil menarik kerusi lalu duduk; wajahnya nampak tegang dan kecewa.

“Aku tak tau apa nak jadi dengan politik Melayu. Habis haru-biru. Memang barua betul!”

Kami mendengarnya. Perbualan mengenai Covid-19 tenggelam apabila Mat Samseng muncul.

“Kita nak mampus hidup susah di bawah, depa pemimpin kebulur berebut kuasa,” katanya dalam loghat Kedah yang pekat.

“Apa yang kau mengamuk ni Mat?” Tanya saya.

“La nak dapat sekupang pun susah. Bisnes semua dah nak jahanam. Harga barang mahal dan meniaga pun takat cukup makan saja,” rungutnya lagi.

Saya malas melayan. Orang macam Mat Samseng kini ada di mana-mana. Ini bukan protes penyokong politik. Ini protes rakyat yang terjejas akibat kegalauan politik.

Ini impak “politik perut.”

Saya malas bercerita panjang. Dalam keadaan sekarang, anda juga tentu bertemu dengan ramai Melayu versi Mat Samseng.

Bukankah begitu? – 8 Mac, 2020.

 

 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen