Pakatan jatuh sebab salah sendiri, kata pengundi Kedah


Zaim Ibrahim

Pengundi Kedah berkata, sebagai kerajaan PH gagal memanfaatkan gerak kerja berkomunikasi dengan rakyat seperti yang mereka lakukan semasa jadi pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2020.

KELEMAHAN Pakatan Harapan (PH) menyampaikan maklumat dasar kerajaan dengan berkesan antara punca rakyat kecewa dan buruk sangka dengan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, kata pengundi di Kedah.

Kekecewaan rakyat itu diambil kesempatan oleh pemimpin politik untuk merampas kuasa melalui pintu belakang, sekali gus mengetepikan suara rakyat dalam pilihan raya umum 22 bulan lalu, kata mereka.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, sebagai kerajaan PH gagal memanfaatkan gerak kerja berkomunikasi dengan rakyat seperti yang mereka lakukan semasa jadi pembangkang.

“Apabila PH jadi pembangkang semula sekarang, mereka mula buat ceramah, untuk kembalikan kepercayaan rakyat,” kata Hafiz Hassan kepada The Malaysian Insight.

“Tetapi semasa jadi kerajaan mereka hanya gunakan media kerajaan dan itu tak cukup kuat. 

“Pembangkang (Umno dan PAS) pula lebih banyak berceramah di kawasan kampung dan buat aktiviti bersama akar umbi,” tambahnya, yang mengaku mengundi PH semasa PRU14.

Hafiz, 26, adalah antara hampir 400 hadirin dalam program ceramah PH di Alor Setar malam tadi. Program bertujuan menjelaskan kemelut politik yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) gabungan Bersatu, Umno, dan PAS membentuk kerajaan menggantikan PH.

Ceramah Pertahan Mandat Rakyat itu melibatkan pemimpin PH negeri, termasuk Menteri Besar Mukhriz Mahathir yang juga timbalan presiden Bersatu serta dua ahli Parlimen iaitu Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) dan Amiruddin Hamzah (Bersatu-Kubang Pasu).

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub juga hadir berceramah.

Lalai 

Seorang pensyarah di sebuah maktab perguruan yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad juga berkata, PH jatuh kerana kelalaian sendiri.

“Perkara yang berlaku ini saya anggap sebab kelemahan PH sendiri.

“Masa jadi kerajaan, PH tak ada pun buat ceramah sampaikan usaha-usaha mereka kepada rakyat,” katanya, yang mengaku penyokong Anwar Ibrahim sejak 1990-an.

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak main peranan betul. Banyak berita palsu tetapi tidak dicantas, kami yang jadi penyokong pula perlu terang kepada kawan-kawan,” tambahnya, yang datang dari Sungai Petani untuk mengikuti ceramah malam tadi.

Selain masalah komunikasi, Muhammad juga menarik perhatian pada pergeseran antara pemimpin dan parti dalam PH, sehingga menyebabkan akhirnya ada yang khianat.

“PH lalai ketika jadi kerajaan. DAP dan Bersatu selalu berlawan kenyataan. Dalam PKR pula, Anwar dan Azmin asyik bergaduh,” katanya, merujuk pada bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Usul tidak percaya

Sementara itu, beberapa penyokong PH berharap akan ada satu usul undi tidak percaya dibuat terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“PH kena buat usul undi percaya pada sidang Parlimen akan datang. Kerajaan hari ini pun saya jangka tak lama, sebab bukan rakyat pilih mereka,” kata Hamzah Salleh, pengundi di Alor Setar.

“Tidak perlulah tunggu PRU15, buat sahaja undi percaya kepada Muhyddin Yassin,” tambah Muhammad.

Ceramah malam tadi berlangsung lebih kurang 2 jam setengah, bermula pukul 9 malam dan berakhir menjelang 11.30 malam. Suasananya terasa seperti kempen pilihan raya.

Dalam ceramah mereka, semua pemimpin PH mengutuk pembentukan kerajaan PN  dan mengingatkan hadirin tentang kuasa sebenar mereka menentukan kerajaan.

Bekas menteri pertanian Salahuddin berkata PN hanya menang satu perlawanan tetapi pertarungan sebenar belum lagi tamat.

“Kita yakin mandat rakyat di tangan kita. Kenapa kita yakin… kerana kita tahu mereka (PN) ini amat sukar menubuhkan kerajaan.

“Jangan undur, yakinlah, mungkin kita baru kalah dalam satu pertarungan tetapi peperangan sebenar belum berakhir,” katanya, yang juga Ahli Parlimen Pulai. – 8 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen