Aktivis hak asasi wanita bimbang dasar kerajaan baharu bersama PAS tidak jelas


Khoo Gek San

Aktivitis wanita berharap kerajaan baharu yang terdiri daripada PAS dan Umno tidak meninggalkan pembaharuan berhubung isu wanita dan kanak-kanak yang dimulakan pentadbiran PH terdahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2020.

AKTIVIS hak wanita bimbang usaha memartabatkan kesaksamaan gender dalam masyarakat Malaysia akan merosot di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai parti Islamis PAS.

Dalam temu bual sempena Hari Wanita Sedunia hari ini, sebahagian mereka berkata PAS sememangnya’dikenali aktif mempromosi undang-undang yang tidak menggalakkan kesaksamaan gender.

Kebimbangan itu juga dipercayai berpunca nilai-nilai rejim Umno yang sering menindas kebebasan bersuara di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), yang mungkin mempengaruhi reformasi demokratik, yang turut merangkumi hak-hak wanita.

“Demokrasi dan kesakmaan melengkapi satu sama lain. Tanpa demokrasi, sukar untuk melaksanakan nilai kesaksamaan,” kata Ng Geok Chee, yang mengetuai Seksyen Wanita di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH).

“Sejak dua tahun yang lalu, aktivis memantau dengan teliti sama ada kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan janji pembaharuannya.

“Bagaimanapun, jalan untuk reformasi telah terbantut dengan kejatuhan mereka. Ini adalah satu cabaran besar kepada reformasi demokrasi. Hala tuju kerajaan baru pula masih tidak diketahui.”

Kerajaan PH banyak membantu wanita dan keluarga, kata Ng sambil menambah bahawa jika reformasi hak wanita dihentikan oleh kerajaan baharu, wanita dan kanak-kanak akan terjejas secara langsung.

PH juga turut dijadualkan akan membentangkan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual pada Mac di Dewan Rakyat.

Namun kini ketidakpastian masih menyelubungi kerajaan baharu, selepas kerajaan PH digulingkan dalam rancangan membentuk satu gabungan baharu antara kem Perdana Menteri Muhyiddin Yassin daripada Bersatu, Umno, PAS dan bekas pemimpin PKR Mohamed Azmin Ali.

Sidang Parlimen yang dijadualkan pada Mac juga ditangguhkan sehingga 18 Mei.

Ng berkata PH juga turut meneliti reformasi dalam perkara lain, seperti undang-undang kesaksamaan gender, mengharamkan perkahwinan kanak-kanak dan merancang strategi di seluruh negara untuk menangani fenomena perkahwinan di bawah umur.

Kerajaan PH melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mempertimbangkan untuk mengubah Undang-undang Persekutuan Keluarga Islam 1984 untuk meningkatkan had usia minimum perkahwinan untuk umat Islam kepada 18 tahun.

Aktivis veteran hak wanita Ho Yock Lin berkata langkah kerajaan PAS di Terengganu untuk mengawal selia persembahan seni dan kebudayaan dan turut mengasingkan jantina adalah petanda sisi pandang parti tersebut mengenai kesaksamaan gender.

“Malaysia adalah negara sekular yang merangkumi pelbagai budaya dan kaum,” kata Ho.

Persatuan Tindakan Wanita (Awam), dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight, berkata kerajaan baharu tidak seharusnya meninggalkan pembaharuan berhubung isu wanita dan kanak-kanak yang dimulakan pentadbiran PH terdahulu.

“Kerajaan PH telah membina asas (yang dimulakan kerajaan BN sebelum ini) dan telah bergerak maju.

“Kami ingin melihat kerajaan baharu ini belajar dari cara regresif lama dan bekerja ke arah Malaysia yang demokratik dengan sistem kehakiman yang kuat dan adil, pasukan polis yang adil dan saksama serta sistem semak dan imbang yang baik,” kata Awam.

Ia turut menambah bahawa kerajaan baharu dapat memastikan pembaharuan yang lebih besar terhada[ wanita dengan mempunyai lebih banyak anggota parlimen, serta “menggalakkan proses sistematik dalam parti politik untuk memastikan bahawa calon wanita diberikan pekuang mewakili kerusi Parlimen”.

Awam turut menyenaraikan beberapa pencapaian kerajaan Pakatan dalam memajukan hak wanita dan kanak-kanak:

  • Memperluas Talian Kasih ke aplikasi WhatsApp untuk aduan mengenai penderaan, pembuangan bayi dan nasihat kaunseling;
  • Mengambil langkah untuk menangani perkahwinan kanak-kanak dengan pelan tindakan nasional;
  • Menangani isu pembuangan bayi dengan membekalkan kondom kepada orang awam, ia adalah kali pertama langkah itu dibuat oleh kerajaan; dan
  • Inisiatif #WanitaKerja di bawah Bajet 2020 untuk membawa lebih banyak wanita ke dalam tenaga kerja negara.

Ng daripada KLSCAH juga memuji skim i-Suri yang diperkenalkan PH untuk mempromosi tabungan suri rumah daripada pendapatan suami mereka kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. – 8 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen