Muhyiddin jadi PM sebab pilih Najib, kata Dr Mahathir


Zaim Ibrahim

MUHYIDDIN Yassin dapat jadi perdana menteri kerana sedia bekerjasama dengan Najib Razak, yang beliau sama-sama bantu singkirkan ketika bersama Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, Muhyiddin lebih sanggup bekerjasama dengan Najib dan pemimpin Umno lain yang kini sedang dibicarakan di mahkamah, dan bukan dirinya yang sama-sama mengasaskan Bersatu sebelum PRU14.

“Bila saya tak setuju dengan dia pasal kerjasama dengan Najib, dia pilih Najib dan tak pilih saya,” kata Dr Mahathir di Jitra, Kedah.

“Saya tidak sanggup kerjasama dengan Najib dan geng-geng dia, maka hari ini yang jadi perdana menteri ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin,” tambahnya.

Dr Mahathir menyampai ucapan pada majlis kenduri rakyat, hari ini.

Dalam ucapan ringkasnya, Dr Mahathir sekali lagi menghuraikan rentetan peristiwa yang membawa kepada naiknya gabungan baharu Perikatan Nasional menggantikan Pakatan Harapan susulan kemelut politik dua minggu lalu.

Katanya, pemimpin Bersatu mahu beliau menolak PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu bersama Umno dan PAS.

Beliau menceritakan bagaimana Muhyiddin berkata kepadanya “masanya adalah sekarang, kita keluar PH dan membentuk kerajaan Melayu.”

“Kerjasama dengan PAS, saya fikir okay lah, tapi kerja dengan Umno?

“Kita baru kalahkan mereka dan kerajaan kleptokrat mereka. Kerjasama dengan Najib… musuh… saya tak sanggup.

“Tapi Muhyiddin sanggup kerja sama dengan Najib, Zahid Hamidi, Tengku Adnan Tengku Mansor, Azeez Abdul Rahim, Rosmah (Mansor). 

“Macam mana saya nak kerja dengan mereka, ramai antara mereka sedang dalam perbicaraan kes rasuah?” tambahnya.

Muhyiddin Yassin sanggup memilih Najib Razak berbanding saya, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2020.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Bersatu, turut mengimbau kenangan – yang sekarang beliau sifatkan sebagai “pedih – iaitu ketika menubuhkan parti itu bersama-sama Muhyiddin untuk menentang Najib dan Barisan Nasional.

“Saya teringat waktu kita tubuh parti Bersatu ini, kita nak buat satu lagu dan lagu itu sebut ‘bercerai roboh bersatu teguh’.

“Tapi yang bercerai ialah Muhyiddin,” katanya.

Tambah Dr Mahathir, beliau bukannya mahu sangat hendak jadi perdana menteri lagi sekali kerana sudah dua kali memegang jawatan itu.

“Tapi bila kawan tikam belakang ni, berasa pedihlah,” katanya. – 7 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen