DAP masih berdepan serangan berita palsu


Andrew Wells

Antara berita palsu yang tersebar di media sosial dan dinafikan oleh DAP.– Gambar Facebook, 7 Mac, 2020.

DAP menafikan laporan berita palsu bahawa setiausaha agungnya Lim Guan Eng akan kembali memegang jawatan ketua menteri Pulau Pinang.

Facebook Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dipenuhi posting menafikan laporan berkenaan, manakala jurucakap parti turut mengesahkan berita berkenaan adalah palsu.

Artikel menyerang DAP dan Lim Guan Eng semakin tersebar, walaupun selepas Pakatan Harapan ditumbangkan daripada kerajaan persekutuan.

Perubahan kerajaan kepada Perikatan Nasional tercetus selepas perancangan dibuat antara puak Muhyiddin Yassin dalam Bersatu, bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Umno dan PAS.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu, namun PH mempertikaikan sokongan majoritinya dan menggesa sidang tergempar Dewan Rkayat diadakan bagi menyatakan sokongan dalam ahli Parlimen.

Bagaimanapun sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya diadakan pada 9 Mac, ditangguhkan ke 18 Mei depan.

Selepas kejatuhan PH, beberapa pemimpin Bersatu dan PH seperti Khalid Samad daripada Amanah mendedahkan bahawa mereka yang merancang untuk membentuk kerajaan baru kerana mahukan gabungan Melayu-Islam yang kuat serta untuk menolak DAP.

Chow menerusi Facebook menafikan posting Facebook Berita Malaysia Onlie, yang  mendakwa Lim Guan Eng akan kembali sebagai ketua menteri Pulau Pinang”.

Terdapat dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng cuba mendapatkan kembali jawatan sebagai ketua menteri Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2020.

Beliau turut membidas satu lagi posting fitnah oleh Suara Kita Hebat, yang merujuk kenyataan berikut kepada Chow: “Tidak akan ada peluang untuk menubuhkan kerajaan Melayu di Pulau Pinang. Itu lah kata-kata angkuh Ketua Menteri Pulau Pinang.”

“Sama sekali fitnah yang tidak berasas,” tulis Chow.

DAP menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang sejak 2008, dan Lim menjadi ketua menteri selama dua penggal.

Beliau kemudian dilantik sebagai menteri kewangan oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad selepas PH memenangi kerajaan persekutuan pada 2018.

Pada 2018, PH di Pulau Pinang memenangi negeri itu dengan majoriti kukuh, 37 daripada 49 kerusi.

DAP turut menafikan satu lagi berita palsu yang ditujukan kepada Chow yang tersebar menerusi WhatsApp, yang mendakwa Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang perlu dibubarkan susulan perubahan kerajaan persekutuan kerana “Pulau Pinang memiliki autonomi penuh seperti Singapura”.

Turut tersebar di WhatsApp mesej yang didakwa oleh bekas ahli DAP, A Rahmad Isahak, yang mendakwa Lim cuba mendapatkan kembali jawatan ketua menteri Pulau Pinang.

Mesej itu turut mendakwa akuan bersumpah turut ditandatangani bagi menyokong Lim menjadi ketua menteri. – 7 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen