Kebebasan bersuara serasi dengan institusi raja, kata kumpulan sivil


Bantahan terhadap kerajaan bukan sebagai tidak menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang didakwa oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, kata kumpulan masyarakat sivil.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2020.

BANTAHAN terhadap pertukaran kerajaan tanpa pilihan raya dan menggesa undi tidak percaya di Parlimen terhadap perdana menteri bukan bersikap kurang hormat kepada Yang di-Pertuan Agong, kata 50 badan masyarakat sivil (CSO) dalam satu kenyataan bersama.

Menurut mereka, kebebasan bersuara seperti itu bukan sahaja serasi dengan raja berperlembagaan malah ia turut melindungi mandat rakyat.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata mereka yang menggesa undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai tidak menghormati Agong, yang mempunyai kuasa di bawah perlembagaan persekutuan untuk “melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”.

Menurut CSO, keabsahan mana-mana perdana menteri boleh dicabar dan dinafikan oleh Parlimen dengan meluluskan usul tidak percaya, menolak usul percaya atau menolak belanjawan (rang undang-undang bekalan).

“Apabila senario ini berlaku, ia tidak bermakna ahli-ahli Parlimen bersikap kurang hormat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Sebaliknya, mereka menunjukkan kesetiaan kepada sistem raja berperlembagaan dengan memastikan mandat rakyat diperwakilkan dengan betul,” menurut kumpulan itu.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri baharu oleh Agong pada 29 Februari dan mengangkat sumpah pada hari berikutnya.

Pelantikan beliau serta penubuhan kerajaan Perikatan Nasional berlaku melalui perancangan oleh puaknya dalam Bersatu, bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Umno dan PAS.

Pakatan Harapan yang ditumbangkan mempertikaikan jumlah sokongan majoriti Muhyiddin daripada kalangan ahli Parlimen dan mahu sidang Dewan Rakyat tergempar diadakan bagi menentukan sokongan majoriti ahli Parlimen terhadap Muhtyiddin, namun persidangan yang pada asalnya dijadualkan pada 9 Mac, ditangguhkan kepada 18 Mei depan.

Dua siri perhimpunan bantahan diadakan minggu lalu di Dataran Merdeka dan Sogo yang mana pesertanya mengutuk “kerajaan pintu belakang” Muhyiddin, dan menyifatkan ia sebagai pengkhianatan kepada undi rakyat.

Menurut kumpulan itu, komentar adil yang diungkapkan secara sopan dan perhimpunan yang diadakan secara aman tidak bertentangan dengan sistem raja berperlembagaan, sebaliknya membawa kebaikan.

“Ini kerana pemerhatian dan kenyataan aktiviti-aktiviti ini akan membantu Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong untuk menilai dan mempertimbangkan suara orang ramai,” kata mereka.

Polis berkecuali

Mereka turut menggesa pihak polis agar bersikap berkecuali, dan menambah pelantikan Muhyiddin masih dipertikaikan dan boleh dibatalkan di mahkamah atau ditolak oleh Parlimen.

“Sehinggalah semua saluran untuk mencabar pelantikannya digunakan, kedudukan beliau tidaklah muktamad.

“Polis tidak harus mengambil kedudukan partisan sama ada pelantikannya harus diterima.

“Mengheret polis ke dalam gelanggang politik atas nama Istana akan membawa kemudaratan kepada kedua-dua institusi Istana dan PDRM.”

Kumpulan itu turut menggesa polis untuk menghentikan siasatan terhadap 18 peserta dua perhimpunan aman, dan “menyeru untuk menunjukkan empati terhadap perasaan rakyat dan memberi ruang maksimum untuk kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun selagi ketenteraman awam dijaga”.

“Pihak Polis yang berempati amat diperlukan agar tanah air kembali kepada keadaan biasa.”

Kumpulan yang menandatangani kenyataan bersama itu mewakili pelbagai pihak, termasuk kumpulan Orang Asli, belia, Sabah dan Sarawak, aktivis alam sekitar, wanita, minoriti agama dan ahli akademik. – 7 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen