SPRM siasat beberapa lagi kes rasuah berprofil tinggi


Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata setiap minggu kes baharu disiasat selain kes yang sedang menunggu kebenaran Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan di mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2017.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya sedang menyiasat beberapa lagi kes rasuah dan salah guna kuasa termasuk kes berprofil tinggi di negara ini.

Pihaknya sedang menyiasat beberapa lagi kes rasuah dan salah guna kuasa termasuk kes berprofil tinggi di negara ini.

Tanpa memberi butiran lanjut, Dzulkifli berkata setiap minggu SPRM menyiasat kes baharu selain beberapa kes yang sedang menunggu kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan di mahkamah.

“Kita tunggu lah…jadi orang tertanya-tanya…kalau saya dah bagi tahu, tak saspens…ini yang sebenarnya menjadi kegerunan bagi mereka yang terlibat dengan rasuah. Adakah mereka disiasat minggu hadapan atau bagaimana,” katanya kepada pemberita sempena Program Ziarah Kasih SPRM Siri 4/2017 semalam.

Kira-kira 5,000 pengunjung menghadiri program yang dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Sabah Joseph Pairin Kitingan itu.

Dzulkifli berkata usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa yang dijalankan agensi itu bukan usaha eksklusif SPRM sahaja tetapi usaha bersama melibatkan seluruh rakyat Malaysia untuk memastikan negara ini bebas daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata SPRM merupakan agensi kerajaan yang mewakili rakyat secara keseluruhan untuk memastikan jentera kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri melaksanakan tugas yang diamanahkan tanpa rasuah dan salah guna kuasa.

Sehubungan itu katanya rakyat tidak perlu risau dan takut kerana yang menggeruni SPRM hanyalah mereka yang terlibat dengan kegiatan tidak bermoral itu.

“Kita memberi jaminan kepada rakyat, SPRM akan bertindak bagi pihak rakyat…sekiranya terdapat pengkhianatan amanah rakyat tersebut, mengkhianati tugas dan tanggungjawab dengan terlibat rasuah dan salah guna kuasa, maka kami di SPRM tidak teragak-agak mengambil tindakan mengheret mereka ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau mengajak rakyat di negara ini khususnya di negeri Sabah supaya bersatu untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa kerana rasuah boleh melumpuhkan sistem pentadbiran negara sekiranya dibiarkan.

Sementara itu, Dzulkifli berkata keanggotaan Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) yang dilancarkan 1 Ogos lepas kini mencecah 100,000 orang sekali gus membuktikan usaha berterusan agensi itu memerangi rasuah dan salah guna kuasa mendapat sokongan padu seluruh lapisan rakyat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang disifatkan turut bersama dengan agensi itu untuk memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

“Sebenarnya tanpa media, impak kepada program yang SPRM laksanakan tidak ke mana. Tetapi disebabkan media, maka semua rakyat tahu tentang usaha yang kita lakukan,” katanya. – Bernama, 13 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen