Kenyataan Hisham Hamdan, pesakit Covid-19


PERTAMA sekali, saya ingin ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas sektor penjagaan kesihatan di Malaysia yang sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dalam tempoh yang amat getir ini.

Etika kerja dan dedikasi golongan ini tiada tolok bandingnya. Baik pihak profesional perubatan di Pusat Perubatan Subang Jaya (“SJMC”), para doktor di Hospital Sungai Buloh yang diketuai oleh Dr. Yasmin Mohd. Ghani yang telah bertungkus lumus merawat saya dan para pesakit Covid-19 yang lain, hinggalah para pegawai di Kementerian Kesihatan, kegigihan dan komitmen mereka ini membuatkan saya berbangga kerana negara kita yang mempunyai petugas dan sistem penjagaan kesihatan yang sangat baik.

Penghargaan khusus saya tujukan buat Dr. Muhammad Haikal Ghazali di Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Dr Zaza Rida Zakiman di Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.

Seterusnya, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi penjelasan tentang beberapa laporan media mengenai kes saya, Kes 26.

Saya berpendapat bahawa saya perlu berkongsi fakta mengenai keadaan saya yang sebenar supaya orang ramai mendapat gambaran yang lebih jelas.

Pada 27 Februari 2020, saya mula menunjukkan simptom penyakit, iaitu demam dan batuk. Pada petang hari tersebut, saya telah ke Pusat Pesakit Luar SJMC untuk mendapatkan rawatan kerana khuatir menghidap demam denggi.

Semasa di sana, saya juga telah meminta secara khusus untuk menjalani ujian Covid-19.

Selepas melakukan ujian, saya terus kembali ke rumah untuk berehat.

Pada petang 28 Februari 2020, saya telah menerima keputusan ujian saringan pertama yang menyatakan bahawa saya telah disahkan positif.

Saya telah diminta untuk terus ke Hospital Sungai Buloh pada 29 Februari 2020 untuk diasingkan dan dirawat di sana.

Ketika di sana, keputusan ujian saya telah disahkan. Ketika itu, saya adalah orang ke-26 di Malaysia yang disahkan positif menghidapi penyakit Covid-19.

Pun begitu, ini tidak bermakna bahawa saya adalah orang ke-26 di Malaysia yang dijangkiti penyakit berkenaan.

Berkemungkinan, terdapat orang lain yang telah dijangkiti sebelum ini tetapi tidak diuji.

Oleh itu, saya telah memberikan kerjasama dengan Dr Haikal dan Dr. Zaza untuk membina senarai kontak yang turut melibatkan rakan-rakan saya di UDA dan Khazanah.

Selain itu, semua anggota keluarga saya telah turut menjalani ujian. Alhamdullilah, semua ahli keluarga saya telah disahkan negatif.

Namun, dua individu tidak bernasib baik kerana telah menjangkiti Covid-19 daripada saya, iaitu pemandu saya di UDA dan kakitangan paramedik SJMC yang telah memberi rawatan kepada saya.

Mereka kini sedang menerima rawatan rapi oleh pengamal kesihatan tempatan yang bertindak secara cukup professional.

Jelas bahawa gelombang kedua Covid-19 di Malaysia dikaitkan dengan saya.

Namun persoalannya, untuk dikaitkan dengan penyakit ini berbanding punca atau pembawa asal penyakit ini adalah dua perkara yang sama sekali berbeza.

Pujian harus diberikan kepada Kementerian Kesihatan kerana masih berusaha gigih untuk mengesan punca atau pesakit asal (Pesakit “0”).

Saya telah menghadiri beberapa mesyuarat antara 21 hingga 27 Februari dengan beberapa individu yang kemudiannya telah disahkan positif menghidapi Covid-19.

Seperti yang telah saya nyatakan, Kementerian Kesihatan masih mencari Pesakit “0”.

Saya hanya merupakan orang pertama yang disahkan positif lanjutan daripada beberapa mesyuarat yang saya hadiri.

Pada masa yang sama, saya ingin memaklumkan bahawa terdapat beberapa mesyuarat pada pagi 24 Februari 2020 yang mana kesemua 13 individu yang terdiri daripada ahli lembaga dan pengurusan bukan daripada UDA didapati negatif.

Saya juga telah menghadiri majlis di sebuah Kementerian dalam kapasiti saya sebagai Pengerusi UDA pada 27 Februari namun saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak menghadiri sebarang majlis politik.

Pada kesempatan ini, saya harus memuji Dr. Haikal dan Dr. Zaza kerana telah mengatur beberapa sesi ujian untuk individu di UDA dan Khazanah yang telah bersua rapat dengan saya.

Seterusnya, saya juga ingin menyentuh tentang lawatan saya ke Shanghai.

Saya berada di Shanghai untuk menghadiri suatu persidangan dari 13 hingga 17 Januari 2020.

Saya ingin membangkitkan dua isu utama di sini. Hingga ketika itu, kes yang telah disahkan di China adalah hanya dari bandar Wuhan, bandar yang mana saya tidak pernah ziarahi.

Pada ketika itu, tiada larangan atau kegusaran ditimbulkan bagi lawatan ke Shanghai. Kes pertama yang direkodkan di Shanghai adalah pada 20 Januari.

Di Malaysia, pada 25 Januari, seminggu selepas saya tiba dari Shanghai, Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan kenyataan yang menasihatkan rakyat Malaysia untuk menangguhkan atau mengelakkan perjalanan ke China.

Pada 30 Januari, akibat merebaknya wabak coronavirus novel, Pertubuhan Kesihatan Sedunia secara rasminya mengisytiharkan “kecemasan kesihatan awam tahap antarabangsa.”

 Kesemua ini berlaku sekembalinya saya dari Shanghai.

Isu kedua yang ingin saya bangkitkan ialah berkaitan tempoh inkubasi virus yang mana setakat ini penyelidikan saintifik dan perubatan menunjukkan bahawa virus ini mempunyai tempoh inkubasi sehingga dua minggu.

Memandangkan saya telah pulang ke tanah air pada 17 Januari 2020, dan hanya menunjukkan simptom penyakit pada 27 Februari, berdasarkan penemuan penyelidikan perubatan setakat ini, tidak mungkin bagi saya untuk dijangkiti virus berkenaan semasa lawatan saya ke Shanghai.

Tambahan pula, pesakit yang terawal yang mempunyai hubungan rapat dengan saya adalah daripada mesyuarat pada 21 Februari 2020, kira-kira 5 minggu selepas saya pulang.

Tanpa hasil penemuan perubatan baharu yang menyatakan sebaliknya, kita harus memegang kepada fakta yang tidak dapat mengaitkan lawatan saya ke Shanghai dengan penyakit yang saya hidapi.

Sebagai rumusan, berdasarkan fakta-fakta yang telah saya nyatakan, sungguhpun jelas bahawa saya dikaitkan dengan gelombang kedua wabak ini, untuk dikaitkan berbanding menjadi sumber kepada wabak ini adalah dua perkara yang sama sekali berbeza.

Kita harus memberikan ruang kepada MOH untuk mereka menjejak dan mengenal pasti Pesakit”0”.

Seterusnya, berdasarkan kajian perubatan sedia ada, tempoh inkubasi untuk virus ini adalah dua minggu, sekali gus menyangkal dakwaan bahawa saya dijangkiti ketika berada di Shanghai.

Tambahan pula, semasa saya di Shanghai, tiada sebarang kes direkodkan lagi. Akhir kata, saya percaya bahawa kita harus berpegang kepada fakta serta memuji usaha gigih golongan profesional perubatan di Kementerian Kesihatan.

Saya berterima kasih kepada mereka semua atas segala jasa mereka kepada negara.

Saya juga menyeru orang ramai untuk memberi mereka sokongan penuh, menyandarkan sesuatu berita ata pendapat itu kepada fakta sebelum menyebarkannya, serta menghormati tatacara kerahsiaan dan privasi individu yang sedang menjalani rawatan.

Saya ingin mendoakan kesejahteraan semua kakitangan UDA serta ahli keluarga mereka serta semua mangsa yang dijangkiti, sama ada di Malaysia mahupun di seluruh dunia, yang masih menerima rawatan.

Saya faham betapa sukarnyanya keadaan mereka dan berharap mereka akan kembali pulih secepat mungkin. Terima kasih. – 6 Mac, 2020.

* Hisham Hamdan ialah Pengerusi UDA Holdings Berhad

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen