MEMBUAT undi tidak percaya kepada Perdana Menteri baharu Muhyiddin Yassin bermakna tidak percaya keputusan Yang di-Pertuan Agong, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata Agong membuat keputusan untuk melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan selepas mendapatkan pandangan daripada ahli Parlimen dan ketua parti politik.
“Mereka yang mahu membuat undi tidak percaya bermakna mereka tidak percaya dengan Tuanku,” katanya dalam sidang akhbar di Marang, Terengganu pagi tadi.
Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu selepas plot dengan Umno, PAS dan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali untuk membentuk gabungan baharu.
PH mempertikaikan majoritinya dan mahu Dewan Rakyat segera dibuat untuk menentukan majoriti Muhyiddin dalam kalangan ahli Parlimen tetapi persidangan yang pada asalnya dijadualkan pada 9 Mac kini ditangguhkan hingga 18 Mei.
Hadi juga berkata kerajaan Perikatan Nasional di bawah Muhyiddin akan meneruskan manifesto Pakatan Harapan yang “baik”.
“Janji-janji yang baik akan kami penuhi. Jika mereka buat janji yang mustahil, kami juga tak boleh lakukan,” katanya.
Hadi menegaskan pendirian PAS bahawa Kabinet Muhyiddin hanya perlu diisi dengan menteri “yang bersih dan berintegriti”.
Bagaimanapun beliau menambah pemimpin Umno berdepan perbicaraan di mahkamah kerana rasuah tidak bersalah sehingga dibukti bersalah, tetapi berkata Muhyiddin perlu memilih ahli Kabinet dengan bijak.
“Terserah kepada PM untuk memilih siapa yang dia mahu. Beliau juga perlu mengambil kira bukan Islam kerana negara kita negara pluralis dan juga orang Sabah dan Sarawak,” katanya.
Ditanya mengenai perbincangan yang beliau dijangka menjawat jawatan timbalan perdana menteri, Hadi berkata beliau menyerahkan keputusan itu kepada Muhyiddin.
“Saya terbuka pada perdana menteri dan tidak mewajibkan saya untuk dipilih.
“Kalau saya tidak dipilih pun tidak apa, balik jadi nelayan pun tidak mengapa. Saya hendak bekerja untuk negara,” katanya. – 6 Mac, 2020.
Komen