Perlu segera lakukan penggabungan bank


LAJNAH Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat berpandang dalam suasana kecairan sistem kewangan negara yang amat ketat sekarang, penggabungan bank sesuatu yang tidak dapat dielakkan, malah ia satu keperluan. Jesteru itu pihak industri harus memikirkan dengan serius dan bertindak sekarang.

Saranan kami ini adalah susulan daripada tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Asas Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50%, kadar terendah dalam tempoh 10 tahun. Langkah terbaharu BNM ini adalah siri kawalan kewangan yang dilakukan, termasuk penurunan kadar Keperluan Simpanan Berkanun (SRR) kepada 3%.

Rata-rata penganalisa mengjangkakan situasi terbaharu ini bakal memberi kesan kepada margin bersih kadar faedah (net interest margin) dan juga keuntungan (earning) sektor perbankan. Ulasan daripada Nomura Asset Management Malaysia Sdn Bhd menyatakan dalam situasi sekarang margin sektor perbankan akan menyusut antara 2% hingga 3%, yang akhirnya akan menurunkan keuntungan antara 1% hingga 2%.

Dalam suasana kadar faedah yang rendah iaitu 2.50% untuk OPR sekarang, kos pinjaman kepada pengguna akan lebih murah. Namun ini memberikan impak teknikal yang lain terutama kepada kadar pertumbuhan deposit yang makin menurun.

Pada Januari 2019 nisbah pinjaman deposit (LDR) untuk bank di Malaysia lebih 87.6%. Akibatnya bank akan terpaksa bersaing dengan lebih sengit untuk menarik deposit yang akhirnya akan menjejaskan kadar keuntungan mereka.

Jesteru dalam keadaan aliran tunai yang semakin ketat, langkah penggabungan adalah paling optimum demi untuk menyelamatkan industri perbankan dan seterusnya melindungi pengguna. Dengan saiz yang lebih besar bank akan mempunyai skala ekonomi yang lebih optimum untuk terus kekal berdaya saing.

Kerajaan harus menjadi pemudah cara dengan bertindak mencetuskan perbincangan antara bank, mengesyorkan padanan perniagaan (business matching) dan seterusnya menyediakan insentif yang sepatutnya.

Kawal selia juga amat penting kerana dalam mana-mana integrasi dan penggabungan perniagaan pun, seliaan yang ketat adalah faktor kejayaan yang utama.

Kami juga berpandangan langkah penggabungan juga boleh mengurangkan risiko kadar Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) dan boleh dikawal pada kadar yang optimum, disebabkan saiz aset bank yang diperbesarkan.

Kami juga menyarankan langkah pembesaran ke peringkatan serantau yang telah dipelopori oleh bank utama Malaysia iaitu Maybank, CIMB dan Public Bank harus dicontohi oleh bank lain. Dengan operasi serantau bank akan boleh mengambil peluang daripada saiz pasaran yang lebih besar, yang seterusnya mampu memulihkan aliran tunai ke tahap yang lebih baik.

Pun begitu, untuk memastikan kekuatan optimum, pembesaran ke peringkat serantau hanya mampu dibuat setelah penggabungan selesai. – 6 Mac, 2020.

* Mazli Noor ialah timbalan pengerusi 2 Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen