36 maut gempa bumi di sempadan Iran-Iraq


Mangsa gempa bumi di sempadan Iran-Iraq mendapatkan rawatan di hospital di Sulaimaniyah. Seramai 36 orang setakat ini dilaporkan maut termasuk warga emas dan kanak-kanak. – Gambar AFP, 13 November, 2017.

GEMPA bumi bermagnitud 7.3 menggegarkan kawasan pergunungan di sempadan Iran-Iraq semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh, dengan ratusan yang lain cedera, sementara tanah runtuh menambah kesukaran usaha menyelamat dihantar.

Gempa bumi itu melanda 30km dari barat daya Halabja, berhampiran sempadan Iran, kata Penyelidik Geologi Amerika Syarikat.

“Ada 30 kematian di beberapa bandar,” kata timbalan gabenor wilayah Kermanshah, Iran Mojtaba Nikkerdar, menambah jumlah itu mungkin bertambah.

“Kami dalam proses membuka tiga kem bantuan kecemasan,” kata Nikkkerdar.

Ketua perkhidmatan kecemasan Iran Pir Hossein Koolivand berkata sukar menghantar pasukan penyelamat ke kawasan kampung-kampung terbabit kerana jalan terputus akibat tanah runtuh.

Di wilayah Sulaimaniyah, iaitu kawasan Kurdistan di Iraq, penduduk terpaksa keluar ke jalanan dan berlaku kerosakan harta benda.

Televisyen tempatan Iran berkata 200 tercedera dalam kejadian itu. Bandar paling teruk terjejas ialah Qasr-e Shirin di Kermanshah dan Azgaleh, kira-kira 40km ke barat daya.

Agensi berita IRNA berkata 30 pasukan Bulan Sabit Merah dihantar ke zon gempa, di mana sebahagian kawasan itu kini terputus bekalan elektrik.

Di Iraq, pegawai rasmi berkata gempa itu mengorbankan enam orang di wilayah Sulaimaniyah dan 150 yang lain cedera.

Seorang kanak-kanak dan warga emas terbunuh di Kalar, menurut pengarah hospital di bandar itu, kira-kira 70km dari Darbandikhan, dan 105 tercedera.

Gempa itu yang melanda pada jam 9:18 malam dengan kedalaman 25km, turut dirasai selama 20 saat di Baghdad, dan tempoh lebih lama di wilayah lain di Iraq.

Di Iran, IRNA melaporkan gegaran dirasai di beberapa bandar di kawasan barat termasuk Tabriz.

Gegaran turut dirasai di tenggara Turki, dari Malatya ke Van. Di bandar Diyarbakir, orang ramai lari keluar meninggalkan rumah masing-masing. – AFP, 13 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen