Tak masuk akal bila Putrajaya beri Arab Saudi tanah perangi keganasan


Bede Hong

Pengasas Islamic Renaissance Front Dr Ahmad Farouk Musa berkata 15 pengganas dalam serangan 11 September di Amerika Syarikat, berasal dari Arab Saudi dan menerima dana daripada individu berkaitan dengan kerajaan itu. – Gambar The Malaysian Insight, 13 November, 2017.

KEPUTUSAN Putrajaya memperuntukkan tanah kepada Arab Saudi untuk memerangi keganasan tidak masuk akal, kata sarjana Islam terkemuka dan reformis Dr Ahmad Farouk Musa.

“Pendapat saya secara peribadi ialah tindakan kerajaan itu tidak masuk akal.

“Penyelidik menyatakan tidak syak lagi Arab Saudi ialah penaja terbesar kepada keganasan di dunia hari ini. Dan ideologi Arab Saudi kekal menjadi sumber kepada ekstremis Islam paling radikal,” katanya yang juga ketua badan pemikir Islamic Rennaisance Front (IRF).

“Persoalan saya ialah, kenapa kerajaan buat semua ini? Adakah ini sejenis quid pro quo?

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai satu klip video pendakwah kontroversi Zamihan Mat Zin yang menggelar Perdana Menteri Najib Razak “kurang cerdik” kerana memberikan tanah seluas 16 hektar kepada Arab Saudi untuk membina Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Putrajaya.

Dalam video tidak bertarikh di YouTube itu, Zamihan berkata keputusan Putrajaya pada Julai lalu untuk memperuntukkan tanah itu tidak realistik kerana negara itu sendirilah yang melahirkan Daesh.

“Saya rasa ada kebenarannya di situ,” kata Farouk kepada The Malaysian Insight.

Pada Julai, Najib mengumumkan pembinaan KSCIP di atas tanah seluas 16 hektar (40 ekar) di Putrajaya.

KSCIP pada masa ini beroperasi dari Kuala Lumpur dan kerajaan diberi tempoh dua tahun untuk membina pusat baharu KSCIP, yang diilhamkan oleh Raja Salman. Ia bertujuan menangani pengaruh ekstremisme dan aktiviti pengganas, selain menganjurkan keamanan dunia.

Najib berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan pembantu Raja Arab Saudi itu dan Putera Mahkota Mohammed Salman yang melawat Malaysia pada Julai.

“Cadangan beri tanah kepada Arab Saudi untuk perangi keganasan tidak realistik,” kata Zamihan yang pada masa ini dilarang memberi ceramah di masjid dan surau di Selangor oleh Jabatan Agama Islam Selangor kerana mengkritik Sultan Johor dalam satu ceramahnya.

“Kita dah ada polis, dah ada Kementerian Dalam Negeri (KDN), dah ada Jabatan Penjara, dah ada institusi keselamatan yang lain seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Dah cukup dah. Kenapa kita nak bergantung kepada Saudi untuk counter Daesh? Saudi sendiri yang melahirkan Daesh,” kata Zamihan.

Farouk berkata rakyat perlu juga diingatkan yang 15 daripada 19 pengganas dalam serangan 11 September di Amerika Syarikat, bukan saja dari Arab Saudi tetapi menerima dana individu berkaitan dengan kerajaan Saudi.

“Kita tidak boleh lupa dengan laporan sulit AS sebanyak 28 halaman yang didedahkan oleh Kongres pada Julai 2016, jelas membuktikan penyerang 9/11 disokong individu berkaitan dengan kerajaan Arab Saudi sendiri.

“Tindakan keganasan Arab Saudi tidak terhenti dengan 9/11. Ia berterusan hingga hari ini an pengeboman tanpa belas kasihan terhadap Yaman, termasuk orang awam.

“Dan lihat bagaimana mereka mendanai ceramah kebencian di seluruh dunia Islam. Contohnya Zakir Naik, kini pelarian yang dipercayai mendapat perlindungan daripada kerajaan kita.

“Pendakwah yang sama ini pernah berkata pada 2008: ‘Jika dia (Osama Bin Laden) melakukan keganasan terhadap Amerika yang juga pengganas, pengganas terbesar, maka saya bersamanya’.

“Saya tidak fikir Saudi tahu apa maksud moderat. Ini adalah sebuah negara di mana robot perempuan mempunyai hak melebihi wanita Saudi sendiri,” katanya.

Farouk baru-baru ini disiasat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) susulan melanggar kesalahan mengikut Seksyen 433 Kesalahan-kesalahan Syariah (Akta Wilayah Persekutuan) 1997.

Jawi melakukan siasatan sama ada beliau melanggar undang-undang atau tidak selepas IRF menganjurkan forum mengenai murtad dalam Islam yang menampilkan penulis terkemuka Turki Mustafa Akyol. Mustafa turut disoal siasat oleh Jawi atas kesalahan bercakap mengenai agama tanpa tauliah, tetapi kemudian dibebaskan. – 13 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen