TIADA pertukaran dalam pasukan Polis Diraja Malaysia meskipun berlaku pertukaran kerajaan, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.
Menurut beliau, polis adalah pasukan keselamatan untuk negara ini dan bukannya berubah mengikut parti politik.
“Kami adalah pasukan polis untuk negara bukan parti politik. Tugas kami adalah berlandaskan perlembagaan dan undang-undang negara, ia akan kekal begitu selamanya,” katanya pada sidang media, hari ini.
Katanya, memang akan ada pertukaran membabitkan pegawai-pegawai kanan tahun ini tetapi ia tiada kaitan dengan keadaan politik semasa.
“Ramai pegawai kanan saya bakal pencen tahun ini, jadi ketika itu pelantikan baru akan dibuat.
“Setakat ini tiada keperluan untuk pertukaran dalam pasukan ini,” katanya.
Sementara itu, Abdul Hamid turut menyatakan semua kes berprofil tinggi yang disiasat polis sudah di peringkat perbicaraan atau di mahkamah.
“Kes-kes berprofil tinggi yang akan atau sedang dibicarakan di mahkamah berada di bawah bidang kuasa Peguam Negara dan mahkamah dan setakat ini tidak ada apa-apa perubahan, itu proses undang-undang ia bukan proses politik.
“Ia proses undang-undang, yang mana telah ditetapkan untuk bicara, yang sedang berbicara, berjalanlah seperti biasa. Tidak ada sesiapa pun boleh halang, itu bawah peguam negara dan kehakiman,” katanya.
Antara kes berprofil tinggi yang menjadi tumpuan ialah membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Selain Najib, isterinya Rosmah Mansor pula didakwa di atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah ratusan juta ringgit berkaitan projek membekal dan memasang tenaga solar di 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak.
Turut berdepan pertuduhan di mahkamah ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT), lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yayasan itu.
Bekas setiausaha agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor juga turut berdepan pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2 juta daripada pemaju perumahan.
Kes berprofil tinggi ini menjadi tumpuan apabila perubahan kerajaan berlaku selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan diambil alih Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Tegas Hamid, adalah menjadi satu kesalahan jika ada mana-mana pihak yang mengeluarkan arahan supaya kes berkenaan ditutup atau sebagainya.
“Sekiranya ada apa-apa yang mengeluarkan arahan menghalang atau sebagainya itu memang menyalahi undang-undang. Kehendak undang-undang semua mesti ikut dan patuh,” katanya. – 5 Mac, 2020.
Komen