Editorial jahat The Guardian memerlukan respons tegas


AKHBAR The Guardian yang berpangkalan di UK dalam rencana pengarangnya pada 3 Mac dengan berani dan jahatnya telah menggambarkan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri Malaysia kelapan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai rampasan kuasa oleh pihak istana.

Rencana pengarang yang bertajuk, “Pandangan Guardian terhadap kudeta istana: Seorang raja membatalkan pemilihan bersejarah,” dengan cara semberono dan penuh tipu daya mendakwa bahawa Seri Paduka telah mengambil kesempatan daripada pergolakan politik baru-baru ini untuk merampas kuasa – bertentangan dengan mandat rakyat yang diputuskan pada pilihan raya yang lalu.

Ini jelas mencerminkan kejahilan para editornya mengenai sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan Malaysia bersama kejahilan mereka mengenai Perlembagaan Persekutuan atau mereka mempunyai beberapa agenda tersembunyi terhadap Raja dan Muhyiddin.

Perlu ditegaskan kemelut yang dihadapi Malaysia bukanlah satu krisis perlembagaan. Ia semata-mata krisis politik. Raja dalam sistem tadbir urus Malaysia berada di atas politik, lantaran itulah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terpaksa melangkah untuk menyelesaikan krisis politik yang berlaku buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia.

Kemelut politik dicetuskan apabila bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyerahkan surat peletakan jawatannya ke Istana Negara pada Isnin, 24 Februari.

Sultan Abdullah menerima peletakan jawatannya dan kemudian melantiknya sebagai perdana menteri interim. Dalam hal ini, tiada apa-apa yang bertentangan dengan perlembagaan.

Sudah tentu apabila Dr Mahathir meletak jawatan, Kabinet di bawah pimpinannya juga tidak lagi wujud. Oleh itu, untuk sementara waktu, Malaysia tidak mempunyai kerajaan walaupun ia mempunyai perdana menteri sementara.

Sultan Abdullah dalam kebijaksanaannya menyedari bahawa adalah tidak baik bagi Malaysia untuk tidak mempunyai kerajaan untuk tempoh masa yang agak lama, lantas baginda beriltizam menyelesaikan kemelut politik tersebut dengan menemuramah semua 222 ahli Parlimen mengenai siapa yang mereka fikir harus memimpin kerajaan.

Ini diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang secara eksplisit memperuntukkan Raja untuk melantik perdana menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pendapatnya memperolehi keyakinan majoriti dalam Dewan.

Ini bermakna seorang ahli Parlimen yang mendapat sokongan sekurang-kurangnya 112 undi.

Bermula Selasa, 25 Februari, Sultan Abdullah telah menemuramah dengan penuh teliti bagi memasti dan mengesahkan sokongan setiap ahli Parlimen kepada individu di kalangan mereka yang bakal menjadi perdana menteri.

Baginda menemubual semua ahli Parlimen secara individu mengenai sokongan mereka untuk nama yang dikemukakan sebagai calon perdana menteri Malaysia kelapan.

Pada hari Jumaat 28 Februari, berdasarkan wawancara tersebut, pihak Istana mengeluarkan kenyataan bahawa Sultan Abdullah belum dapat membuat keputusan tentang siapa yang pada pendapatnya memperoleh keyakinan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

“Istana akan berhubung dengan para pemimpin parti politik yang mempunyai wakil di Dewan Rakyat untuk memberi mereka kesempatan untuk mencalonkan seorang ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri yang akan datang,” kata kenyataan itu lagi.

Akhirnya, pada keesokan harinya, 29 Februari, pihak Istana mengeluarkan satu lagi kenyataan bahawa ia telah menerima senarai pencalonan perdana menteri masa depan daripada ketua-ketua parti politik dan wakil bebas Dewan Rakyat.

“Setelah menerima perwakilan dari semua pemimpin parti politik yang mewakili parti mereka dan ahli Parlimen Bebas, pada pendapat Yang di-Pertuan Agong, ahli Parlimen yang mempunyai keyakinan majoriti daripada Dewan Rakyat adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin, ahli Parlimen untuk Pagoh (P143),” tambah kenyataan itu lagi.

Oleh itu, ia hanya membingungkan apabila rencana pengarang The Guardian memilih tajuk yang sangat jahat dan tidak tepat untuk menerbitkan kisahnya.

Dan ironinya adalah rencana pengarang itu termasuk sudut beritanya sekaligus mengesahkan tajuk berita yang menjadi bahan lawak!

Kedua, dalam rencana pengarang itu jelas tiada usaha untuk menerangkan dengan serius mengapa ia berpendapat tindakan Yang di-Pertuan Agong itu seolah-olah membelakangkan Dr Mahathir dalam pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.

Kesimpulannya, bukan sahaja tajuk rencana benar-benar tidak tepat dan tidak selaras dengan sudut berita keseluruhan rencana, malahan tidak ada analisis yang dilakukan tentang bagaimana dan mengapa kemelut politik itu tidak dapat melakukan yang lebih baik daripada mengundang dan menanggung campur tangan perlembagaan oleh pihak Istana. – 5 Mac, 2020.

* Jamari Mohtar dan Jason Loh adalah sebahagian daripada pasukan penyelidikan di EMIR Research, sebuah badan pemikir bebas yang memberi tumpuan kepada cadangan dasar strategik berdasarkan penyelidikan yang ketat.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen