POLIS tidak menyekat sebarang perhimpunan aman dengan syarat pasukan itu dimaklumkan lebih awal, kata Abdul Hamid Bador
Ketua polis negara berkata ia mestilah mematuhi Akta Perhimpunan Aman yang sudah digubal demi kebebasan rakyat bersuara.
“Saya tidak pernah menyekat mana-mana individu untuk berhimpun atau menyuarakan pandangan mereka tetapi biarlah maklum atau beri notis kepada kami sebelum lima hari.
“Notis itu pun sebenarnya bagi menyusun anggota polis menjaga ketenteraman awam dan orang ramai yang menghadiri sesuatu perhimpunan,” katanya dalam sidang media di Pengkalan Polis Marin di Klang, hari ini.
Abdul Hamid turut melahirkan rasa kecewa dengan kritikan pengamal undang-undang berhubung tindakan pihak berkuasa terhadap perhimpunan baru-baru ini.
Menurutnya, polis sedia memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk berhimpun baik di Padang Merbok atau pun stadium asalkan mematuhi undang-undang.
“Saya minta mereka faham, mereka pengamal undang-undang. Jangan keluarkan kenyataan kononnya polis kekang itu, polis kekang ini.
“Pihak media pula, tolong terangkan dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang mudah difahami mereka. Kalau mahu berhimpun, pergilah ke Padang Merbok atau sewa stadium. Mohon notis dan di situ kamu boleh menyuarakan idea kamu sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Semalam, seramai 15 orang aktivis termasuk Ambiga Sreenevasan dan Marina Mahathir dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung dua perhimpunan berasingan diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman serta Dataran Merdeka Sabtu dan Ahad lalu.
Selain itu, peguam yang juga aktivis sosial, Fadiah Nadwa Fikri turut dipanggil untuk memberi keterangan di ibu pejabat polis Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan, iaitu kecenderungan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Mengulas lanjut, Hamid berkata pihak polis memanggil individu yeng terbabit dengan demonstrasi itu kerana jelas melanggar peraturan ditetapkan.
Malah, pihak polis memanggil mereka yang terbabit untuk dirakam keterangan dengan cara yang tertib.
“Kita sentiasa menghormati demokrasi dan menghormati peruntukan perlembagaan berhubung dengan hak rakyat negara ini untuk berdemonstrasi,” katanya. – 5 Mac, 2020.
Komen