BEBERAPA ratus orang berkumpul di Brussels hari ini mengadakan perhimpunan bantahan sebagai sokongan kepada kemerdekaan Catalonia dengan membantah Kesatuan Eropah (EU) serta menuntut Sepanyol melepaskan pegawai-pegawai kerajaan yang dipenjarakan.
Pemimpin Catalonia Carles Puigdemont yang kini dalam buangan di Belgium tidak muncul pada perhimpunan yang melibatkan ahli parlimen Eropah yang pro kemerdekaan dan beberapa menteri yang disingkirkan.
“Demokrasi di Sepanyol tenat,” kata MEP Sepanyol Josep-Maria Terricabras yang menyokong kemerdekaan Catalonia.
Bantahan yang diadakan hanya beberapa meter dari insititusi utama di EU itu menyusul sehari selepas ratusan ribu rakyat Catalonia membantah pemenjaraan bekas-bekas menteri kerana mendesak kemerdekaan dari Sepanyol.
Di Brussels, penunjuk perasaan memegang gambar pegawai yang dipenjarakan, serta sepanduk “shame on you” atas kegagalan EU menyokong Catalonia.
“EU tidak nampak kembalinya diktator dan fasisme di Eropah,” kata menteri kesihatan Catalonia yang disingkirkan, Antoni Comin.
Comin adalah antara lima menteri yang melarikan diri ke Belgium selepas Sepanyol mengenakan perintah langsung ke atas rantau separa autonomi selepas pengistiharan kemerdekaan oleh parlimen di sana pada bulan lepas.
Hakim-hakim Belgium sedang mengkaji waran tangkapan Eropah yang difailkan Sepanyol atas dakwaan hasutan dan pemberontakan terhadap lima bekas menteri Catalonia itu. – AFP, 12 November, 2017.
Komen