Protes jalanan terhadap kerajaan pintu belakang akan diteruskan, kata aktivis


Alfian Z.M. Tahir

Aktivis hak asasi manusia menegaskan hak untuk berhimpun secara aman dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2020.

SELEPAS memberi keterangan kepada polis kerana menyertai perhimpunan yang didakwa haram, aktivis kumpulan masyarakat sivil berkata perhimpunan aman bagi membantah “kerajaan pintu belakang” Muhyiddin Yassin akan diteruskan.

Mereka bagaimanapun berkata, mereka perlu mengatur semula strategi dan membawa kaedah baharu mengenai bagaimana untuk membantah kerajaan. 

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Sevan Doraisamy berkata, kumpulan masyaraat sivil kini sedang mengatur strategi dan kaedah untuk melakukannya. 

“Sudah pasti bantahan akan diteruskan. Ia tidak akan berhenti tetapi kami perlu atur semula strategi dan kaedahnya. Kumpulan hak asasi akan mengadaan perbincangan berhubung perkara itu,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Menurut aktivis veteran itu, perhimpunan aman dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan, dan menambah pihak polis sepatutnya membantu peserta dan bukan menahan mereka. 

Setakat ini, polis mengambil keterangan daripada peguam Fadiah Nadwa Fikri berhubung kenyataannya di Twitter pada Sabtu lalu membidas kemelut politik yang menyaksikan Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri. 

Fadiah menerusi Twitter, menggesa orang ramai untuk menyertai perhimpunan “Turun ke Jalan, Demokrasi Mati” Sabtu lalu. 

Polis turut memanggil empat aktivis - Nik Azura Nik Narson, Liew Liang Hong, Wong Yan Ke dan A. Sivarajan - kerana menyertai perhimpunan itu di Dataran Merdeka. 

Sevan menggesa Ketua Polis Negara Abdu Hamid Bador untuk menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) ketika menguruskan perhimpunan aman. 

Beliau berkata tiada keperluan untuk polis menahan aktivis kerana perhimpunan dijalankan secara aman.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia, Sevan Doraisamy menegaskan perhimpunan aman dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2020.

“KPN perlu menyemak semula SOP. Ketika bantahan berlangsung, anggota polis ada di mana-mana, malah mereka juga merakamnya menggunakan kamera. 

“Mereka boleh lihat sendiri perhimpunan diadakan dalam keadaan aman. Polis sendiri adalah saksi yang boleh dipercayai. Tidak perlu untuk panggil kami bagi mengambil keterangan. 

“Dan kami sebagai aktivis, apabila kami menjawab, paling banyak yang kami cakap kepada polis ialah: ‘Saya akan jawab di mahkamah’,” kata Sevan

Sementara itu, bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah menggesa polis untuk hentikan gangguan terhadap aktivis hak asasi manusia dan menggesa kerajaan baharu memansuhkan Akta Hasutan. 

“Tindakan yang diambil oleh polis adalah salah satu bentuk gangguan. Saya mengutuk siasatan terhadap aktivis hak asasi manusia. Perhimpunan pada Sabtu lalu berlangsung dengan aman tanpa sebarang ucapan kebencian. 

“Polis perlu hentikan segera siasatan terhadap Fadiah. Akta Hasutan yang zalim perlu dimansuhkan dan semua undang-undang yang menekan rakyat perlu disemak semula,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya itu yang pernah ditahan dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas).

Sementara itu, Pegawai Program bagi Article 19, Nalini Elumalai berkata, bantahan secara aman itu perlu diteruskan dan rakyat ada hak untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

Bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah menggesa polis untuk hentikan gangguan terhadap aktivis hak asasi manusia.– Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2020.

“Rakyat berhak untuk buat bantahan dan adalah tanggungjawab kita untuk menyatakan pandangan. Bantahan perlu diteruskan dan ini dijamin di bawah perlembagaan persekutuan. 

“Tanggungjawab polis adalah untuk menghormati hak kita dan mereka tidak boleh berat sebelah. Mereka perlu kekal neutral dan memastikan keselamatan peserta perhimpunan,” katanya.

Adun Amanah Faiz Fadzil yang turut berucap pada perhimpunan itu minggu lalu turut senada dengan Nalini. 

Adun Permatang Pasir itu bagaimanapun berkata, terdapat banyak cara untuk mengadakan bantahan. 

“Salah satu caranya ialah ke jalan raya. Ia bagaimanapun perlu dibuat secara aman. Kita juga boleh mengadakan dialog dan ceramah untuk memberi kesedaran. 

“Perlu saya katakan bahawa bantahan perlu diteruskan kerana ia dilindungi di bawah perlembagaan persekutuan,” kata anak kepada bekas presiden PAS, Fadzil Noor. 

Aktivis berkenaan membantah cara Bersatu, Umno dan PAS membentuk kerajaan persekutuan minggu lalu yang menyaksikan Presiden Bersatu Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri. 

Pakatan Harapan tumbang selepas Bersatu meninggalkan gabungan itu. – 5 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen