Imigresen tutup semua autogate, kaunter automatik


Kalidevi Mogan Kumarappa

Kaunter automatik di pintu masuk negara ditutup serta merta bagi mempertingkat kawalan bagi menangani penularan jangkitan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2020.

JABATAN Imigresen Malaysia mengesahkan semua kaunter automatik di pintu masuk negara ditutup serta merta bagi mempertingkat kawalan bagi menangani penularan jangkitan Covid-19.

Ketua pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud memberitahu The Malaysian Insight ia melibatkan autogate bagi warganegara Malaysia, E-Gate bagi warga asing (NERS) dan Sistem Pelepasan Automatik (MACS).

“Penutupan itu bertujuan untuk kawalan lebih ketat dalam menangani penularan wabak Covid-19. Ini kerjasama erat di antara Jabatan Imigresen dengan Kementerian Kesihatan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan penutupan semua laluan berkenaan tidak akan menjejaskan kemasukan pelancong ke negara ini.

Sementara itu, menurut satu lagi sumber, semua pelawat perlu melalui kaunter biasa dan bukannya kaunter automatik kerana perlu menjalani beberapa saringan yang ditetapkan.

“Jika mereka menggunakan pintu automatik, sukar untuk mengesan lokasi terakhir mereka sebelum memasuki negara. Disebabkan itu, pintu automatik ditutup buat sementara,” katanya.

Sumber mengulas mengenai kandungan satu surat dari Jabatan Imigresen kepada semua pengarah imigresen negeri bagi memaklumkan mengenai penutupan semua laluan pintu masuk berkenaan.

Surat bertarikh 4 Mac yang dilihat The Malaysian Insight menyebut, langkah penutupan semua kaunter automatik berkenaan hanya sementara dan sebarang perubahan akan dimaklumkan dari masa ke masa.

Sebanyak 14 kes baharu dikesan di Malaysia menjadikan jumlah 50 kes setakat ini.

Jumlah itu dari gelombang kedua jangkitan yang bermula selepas 11 hari tanpa sebarang kes direkodkan.

Dalam gelombang pertama seramai 22 pesakit dijangkiti tetapi kesemua diisytiharkan sihat dan dibenarkan keluar dari hospital.

Gelombang kedua pula bermula pada 27 Februari, menurut Kementerian Kesihatan.

Lonjakan kes baharu dikesan pada Pesakit 26 – yang dikenal pasti sebagai pegawai kanan Khazanah Nasional Berhad dan Uda Holdings Berhad.

Dalam perkembagan berkaitan, Wisma Felcra Berhad di Setapak Jaya ditutup serta-merta bermula hari ini kerana seorang pengarahnya disahkan positif Covid-19.

Beliau adalah kontak rapat dengan ahli lembaga pengarah Uda Holdings Bhd yang disahkan positif.

Turut ditutup adalah Menara Kembar Bank Rakyat di Brickfields bagi pembersihan dan pencegahan Covid-19. – 4 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen