Umno dan Bersatu belum ada kata putus soal ketua menteri Melaka


SM Amin

Umno yang mempunyai 13 kerusi DUN di Melaka menamakan Adun Lendu Sulaiman Md Ali sebagai calon ketua menteri yang baharu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2020.

UMNO dan Bersatu Melaka masih tiada kata putus berhubung siapa bakal menerajui negeri itu apabila kedua-dua parti sedang berusaha mengetengahkan calon masing-masing, kata sumber parti.

Sumber berkata, Umno yang mempunyai 13 kerusi DUN di Melaka menamakan Adun Lendu Sulaiman Md Ali sebagai calon ketua menteri yang baharu.

Bagaimanapun kata sumber, Adun Paya Rumput dari Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen juga mahu beliau diberikan peluang untuk memimpin negeri itu, menggantikan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Rafiq antara individu yang menggerakkan Perikatan Nasional. Tanpa sokongan beliau bersama dengan tiga Adun PH yang lain, kerajaan baru ini tidak mampu dibentuk.

“Tetapi Umno rasa mereka lebih dominan sebab mereka ada paling banyak Adun,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Isnin lalu, empat Adun Pakatan Harapan mengumumkan menyokong Perikatan Nasional bagi membentuk satu gabungan kerajaan yang baharu.

Selain Rafiq, mereka yang menyokong Perikatan Nasional ialah Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas), Muhammad Jailani Khamis (PKR-Rembia) dan Norhizam Hassan Baktee (DAP-Pengkalan Batu).

Dengan perkembangan ini, Perikatan Nasional kini mempunyai 17 kerusi di DUN Melaka berbanding 11 kerusi yang dimiliki oleh Pakatan Harapan.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tengah hari tadi mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Melaka bagi mencari jalan untuk memuktamadkan calon ketua menteri Melaka. – 4 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen