Letak jawatan kerana desakan pimpinan PKR, kata Dr Afif


Zaim Ibrahim

Dr Afif Bahardin mendakwa terdapat desakan daripada pimpinan PKR untuk beliau meletakkan jawatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2020.

DR Afif Bahardin berkata beliau letak jawatan sebagai exco kerajaan Pulau Pinang kerana ada desakan daripada pimpinan PKR.

Katanya, atas tekanan itulah Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menasihatinya untuk meletak jawatan Exco Kesihatan, Pertanian, dan Pembangunan Luar Bandar, dan beliau akur dengan keputusan itu.

“Saya ada dengar desakan daripada pimpinan Keadilan negeri dan pusat supaya saya dikenakan tindakan, termasuk dipecat jawatan exco.

“Sebab itu saya jumpa ketua menteri dan beliau beri nasihat.

“Saya terima pandangan serta anggap ia harga yang perlu dibayar untuk pertahankan apa yang saya perjuangkan,” katanya dalam satu sidang media, selepas pemecatannya diumumkan Kon Yeow tengah hari tadi.

Dr Afif yang juga bekas timbalan ketua Pemuda PKR penggal yang lalu, dilihat antara penyokong kuat bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang dipecat daripada parti minggu ketika mula tercetusnya kemelut politik yang membawa kepada runtuhnya pentadbiran Pakatan Harapan di Putrajaya.

Menurut Dr Afif, pimpinan PKR di negeri dan pusat membuat desakan kepada Kon Yeow kerana kurang senang dengan pendirian beliau yang selama ini menyokong Azmin.

“Ada yang kurang senang, apabila melihat (saya banyak) bersama Azmin. Saya sedia berhadapan (apa-apa tindakan) sebab itu keputusan saya sokong kepimpinan Azmin dalam Keadilan (PKR),” katanya.

Dr Afif juga tidak melihat peletakan jawatannya ini sebagai satu masalah kerana baginya yang lebih utama, “rakyat selamat”.

“Saya tidak ada masalah. Saya reda dan yakin ada perancangan lebih baik daripada Allah… yang penting rakyat selamat,” katanya.

Menurutnya, beliau akan terus komited dengan perjuangannya selama ini mempertahankan hak rakyat, serta memastikan pentadbiran yang berjiwa rakyat, bersih dan berintegriti.

Beliau turut menegaskan akan kekal setia bersama PKR dan tidak akan melompat ke mana-mana parti sehingga keputusan dibuat oleh Lembaga Disiplin.

“Kedudukan saya belum ditentukan oleh pimpinan PKR, masih dirujuk Lembaga Disiplin,” katanya.

Ditanya adakah beliau akan menyertai Azmin Ali bersama 10 orang bekas ahli Parlimen PKR yang menyertai Perikatan Nasional, Afif menjawab keputusan hanya dibuat setelah mendapat jawapan daripada Lembaga Disiplin parti.

“Kena tengok apa tindakan Lembaga Disiplin. Kalau saya kekal, kita tengok macam mana. Kalau dipecat saya akan tengok juga macam.

“Mungkin saya akan balik bekerja sebagai doktor atau kekal sebagai ahli politik,” jelasnya.

Pada Ahad lalu, Dr Afif adalah antara penyokong Azmin yang dilemparkan dengan caci maki di luar ibu pejabat parti, sehari selepas sah pentadbiran Pakatan Harapan digantikan oleh gabungan baharu yang diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau bersama naib presiden Tian Chua dan ahli Majlis Pimpinan Pusat Amirudin Shari, yang juga menteri besar Selangor, dimaki dengan kata-kata kesat antaranya “pengkhianat” dan “anjing”.

Mereka berada di ibu pejabat PKR untuk mesyuarat pimpinan parti.

Selepas mesyuarat itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata penyokong Azmin yang masih dalam parti kesal dengan peralihan kerajaan yang berlaku dan berkata mereka tidak tahu mengenai perbincangan untuk membentuk kerajaan bersama Umno dan PAS.

“Mereka sendiri rasa dikhianati. Saya sudah ingatkan mereka berapa lama dulu. Ia sudah dirancang selama berbulan… Penyokong (Azmin) tak bersalah,” katanya.

Dalam pemilihan parti pada hujung 2018, Dr Afif kalah kepada Akmal Nasir untuk jawatan ketua pemuda. – 4 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen