RUNDINGAN damai pusingan kedua antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) membuahkan hasil positif, menyaksikan kedua-dua pihak berbincang beberapa isu teknikal dan pentadbiran bagi membuka laluan mewujudkan keamanan berpanjangan di selatan Thailand.
Dalam satu kenyataan, Sekretariat Dialog Keamanan (SPD) berkata pertemuan kedua antara ketua perunding Jeneral Wanlop Rugsanaoh dan BRN - diketuai Anas Abdulrahman - diadakan pada 2 dan 3 Mac di Kuala Lumpur.
Bekas Ketua Polis Negara Rahim Mohd Noor bertindak sebagai fasilitator pada pertemuan itu.
“Secara keseluruhan pertemuan itu berjalan lancar, kedua-dua pihak membincangkan beberapa isu teknikal dan pentadbiran berkaitan dengan proses dialog.
“Mesyuarat bermula dengan membincangkan topik mengenai isu substantif termasuk mengurangkan keganasan untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif.
“Isu substantif memerlukan masa, berterusan dan sokongan semua sektor terlibat. Kedua-dua pihak akan bermesyuarat untuk membincangkan butiran lanjut semua isu itu dalam masa terdekat,” katanya.
Panel dialog turut mengulangi komitmen untuk mengambil langkah berkesan dan berhemah yang dilihat memainkan peranan penting untuk menyelesaikan masalah di wilayah selatan itu.
Mesyuarat rasmi pertama diadakan di Kuala Lumpur pada 20 Januari lau, kedua-dua pihak bersetuju rundingan merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan konflik bersenjata di selatan Thailand - membawa harapan baharu menamatkan keganasan di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla, wilayah yang majoritinya beragama Islam.
BRN antara beberapa kumpulan yang menyertai rundingan damai dengan kerajaan Thailand sehingga rampasan kuasa tentera pada 2014. Dua tahun kemudian, rundingan disambung semula antara kerajaan Thai dan MARA Pattani. Ketika itu, BRN hanya diwakili oleh sayap politiknya.
Bagaimanapun, rundingan terhenti pada 2018.
Pelantikan Wanlop sebagai ketua perunding pada Oktober lalu memberi isyarat kepada BRN untuk memainkan peranan utama dalam rundingan damai berkenaan.
Pemberontakan di Thailand bermula pada 2004 yang telah mengorbankan lebih 7,000 nyawa. – Bernama, 4 Mac, 2020.
Komen