Tangguh sidang Dewan Rakyat ikut prosedur, kata Umno


SM Amin

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata penangguhan sidang Dewan Rakyat ke 18 Mei dibuat mengikut prosedur kerana agenda mesyuarat sudah berbeza susulan pertukaran kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2020.

PENANGGUHAN sidang Dewan Rakyat ke 18 Mei dibuat mengikut prosedur kerana agenda mesyuarat sudah berbeza susulan pertukaran kerajaan, kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Katanya notis agar Dewan Rakyat bersidang pada 9 Mac dikeluarkan oleh Pakatan Harapan yang kini menjadi pembangkang.

“Notis kita (ahli Parlimen) terima (sebelum ini) di bawah PH dan kita kena faham. Dulu saya pembangkang, saya hantar soalan, sekarang saya duduk di sebelah kerajaan.

“Mana ada soalan dari pembangkang. Ramai ahli Parlimen (Pakatan Harapan) tak hantar soalan mengikut notis lama, sebab dia dulu menteri dan timbalan menteri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Oleh itu, ahli Parlimen Pakatan Harapan perlu mengemukakan soalan sebagai pembangkang dan notis baharu perlu dikeluarkan bagi tujuan itu, jelasnya.

“Sekarang peluang diberi kepada mereka untuk kemukakan soalan, kena keluar notis baru, kerana ada tempohnya.

“Bila dah terima, soalan itu perlu dihantar kepada menteri berkenaan. Macam mana nak hantar kalau menteri belum lantik,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.

Speaker  Mohamad Ariff Md Yusof hari ini mengumumkan menerima pemakluman penangguhan sidang Dewan Rakyat ditandatangani Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Majlis.

Menurutnya Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong berlangsung selama 15 hari bermula dari 18 Mei hingga 23 Jun.

Ia pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 9 Mac.

Tegas Annuar, penangguhan bukan sengaja dibuat sebaliknya mengikut tertib bagi memberi ruang kepada semua pihak untuk menjalankan peranan masing-masing yang baru.

Beliau juga menangkis dakwaan bahawa sidang itu sengaja ditangguh kerana gabungan parti kerajaan takut ia menjejaskan kedudukan mereka.

“Ada orang kata, ini takut hendah bersidang sebab itu tangguhkan, melalut saja. Kita faham, bukan sengaja nak tangguh. Kita kena tertib. Dan kena ada sidang parlimen mengikut jalur yang ditetapkan.

“Asalkan Parlimen wajib bersidang tidak lebih daripada enam bulan daripada hari terakhir persidangan. Maka wajib bersidang sebelum 5 Jun.

“Jadi, saya lihat perkara ini telah diuruskan dengan teratur dan tertib. Urusan kerajaan, pada masa sama, beli peluang cukup kepada semua ahli parlimen,” ujarnya.

Menurutnya, Speaker Dewan Rakyat mungkin akan ditukar ekoran perubahan kerajaan.

Gabungan Pakatan Harapan yang kini di blok pembangkang pula dijangka akan melancarkan usul tidak percaya ke atas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Gabungan itu, yang masih dipimpin Dr Mahathir Mohamad percaya Muhyiddin tidak mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan. – 4 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen